PORT DICKSON: Denda melakukan khidmat masyarakat seperti mencuci longkang dan tandas awam kepada pesalah membuang sampah merata-rata adalah bertuan mendidik bagi membentuk perubahan minda rakyat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, denda tersebut akan dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan selepas diluluskan awal bulan ini.
“Sesiapa yang membuang sampah dari kereta, membuang puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman atau pembungkus makanan di tempat awam akan didenda memakai jaket khas serta mengutip sampah kecil di tempat awam, mencuci longkang serta mencuci tandas awam selama tempoh tidak melebihi 12 jam dalam tempoh 6 bulan.
“Tiada alasan tidak tahu kerana kerajaan sudah banyak kali mengeluarkan pengumuman. Hukuman ini mendidik, bukan hukuman semata-mata. Kaedah sama terbukti berkesan di beberapa negara seperti Korea, Jepun, Sweden dan Singapura. Malaysia perlu melaksanakannya demi membentuk perubahan minda rakyat,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Hari Cuci Malaysia 2025: Program Pembersihan Mega di Pantai Cahaya Negeri di sini hari ini.
Kor Ming berkata, kesedaran masyarakat mengenai isu membuang sampah merata-rata ini masih lagi rendah kerana masih ramai yang membuang sampah kecil merata-rata seperti puntung rokok, plastik dan botol minuman di jalan raya.
“Kita sering lihat ketika musim perayaan, ada yang buka tingkap kereta dan terus buang sampah. Mereka kemudian harapkan pekerja pembersihan yang datang kebersihan. Kalau boleh bawa sampah dalam kereta sampai rumah, barulah buang ke tong sampah, bukan main buang sahaja,” katanya.
Sementara itu, katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah Terpilih sebagai pemenang anugerah Global Zero Waste Foundation United Nations baru-baru ini.
“Pengiktirafan ini memberi tanggungjawab besar kepada Malaysia untuk terus menjadi teladan dalam sektor pembersihan awam. Ia juga selaras dengan peranan negara sebagai UN Habitat (Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya. – UTUSAN










