Takut, lemah asas, tiada aplikasi sebab pelajar jauhi matematik

Takut, lemah asas, tiada aplikasi sebab pelajar jauhi matematik

PENURUNAN minat pelajar terhadap subjek Matematik membimbangkan dan memerlukan intervensi menyeluruh dari peringkat awal pendidikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA berdepan cabaran besar dalam menarik minat pelajar terhadap subjek matematik dan matematik tambahan.

Penurunan ketara pelajar aliran sains (15.2 peratus) berbanding sasaran 60:40 menimbulkan kebimbangan terhadap masa hadapan bidang Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) negara.

Antara punca utama ialah asas matematik yang lemah sejak sekolah rendah. Ramai pelajar masih tidak menguasai sifir tetapi sudah bergantung kepada kalkulator. Ini melemahkan keupayaan pengiraan manual dan menjejaskan prestasi dalam ujian.

Selain itu, kegagalan menguasai algebra iaitu asas kepada banyak topik. Ramai pelajar tidak faham konsep persamaan, pemboleh ubah dan hukum algebra menyebabkan mereka cepat putus asa selain takut subjek matematik tambahan.

Tambahan pula, ramai pelajar tidak nampak kaitan matematik dengan dunia sebenar. Mereka belajar secara teori semata-mata tanpa pendedahan kepada aplikasi sebenar dalam bidang seperti teknologi, kejuruteraan atau kewangan.

Pengalaman negatif dalam kelas juga menyumbang kepada hilangnya keyakinan diri. Pelajar yang sering dimarah atau tidak dibantu apabila gagal, membentuk persepsi mereka ‘tidak pandai matematik’. Ini meningkatkan tahap keresahan matematik yang tinggi dalam kalangan pelajar menengah.

Faktor lain ialah silibus padat dan tekanan masa. Guru terpaksa mengejar sukatan pelajaran sehingga tidak sempat memastikan pelajar benar-benar faham. Di samping itu, pemansuhan peperiksaan awal menyebabkan kelemahan pelajar tidak dikenal pasti lebih awal.

Untuk mengatasi isu ini, asas matematik perlu diperkukuh sejak awal. Penggunaan kalkulator perlu dikawal dan pelajar mesti diberi lebih banyak latihan berbentuk pemahaman. Kurikulum dan kaedah pengajaran perlu lebih kontekstual, menyeronokkan dan membina keyakinan.

Guru, ibu bapa dan Kementerian Pendidikan mesti berganding bahu dalam memperkenalkan pendekatan lebih holistik agar matematik tidak lagi dilihat sebagai subjek yang menakutkan tetapi kemahiran penting yang mampu dikuasai semua pelajar.-UTUSAN

DR. NORSHELA MOHD. NOH
Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×