Rancang keluarga bukan tolak rezeki

Rancang keluarga bukan tolak rezeki

MERANCANG keluarga bukan sekadar memilih jumlah anak tetapi mencipta keseimbangan hidup dan kebahagiaan rumah tangga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAKAH merancang keluarga bermakna menolak rezeki? Soalan ini masih menjadi kekeliruan dalam kalangan sebahagian masyarakat. Hakikatnya, perancangan keluarga bukanlah penolakan terhadap rezeki, sebaliknya tanggungjawab dalam membina keluarga yang sejahtera.

Setiap 26 September, dunia menyambut Hari Kontraseptif Sedunia bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan keluarga. Di Malaysia, Kempen Bulan Perancang Keluarga 2025 dijalankan sepanjang bulan September bagi menekankan pentingnya kesihatan reproduktif dan kesejahteraan keluarga.

Merancang keluarga tidak hanya bermaksud mengelak kehamilan. Ia melibatkan perancangan bilangan, jarak dan masa kelahiran anak-anak agar keluarga dapat dibina dengan lebih tersusun dan seimbang. Ini membawa manfaat besar dari sudut kesihatan ibu, kestabilan emosi, kewangan dan keharmonian rumah tangga. Ia bukan soal menolak zuriat tetapi usaha memastikan amanah anak dilaksanakan dengan sebaiknya.

Malangnya, masih wujud stigma masyarakat yang memandang serong terhadap pasangan yang mengamalkan perancangan keluarga. Ada yang menuduh mereka menolak anak atau enggan bertanggungjawab. Persepsi ini tidak adil kerana kebanyakan pasangan hanya ingin memastikan setiap kelahiran disambut dengan penuh kasih sayang dan persediaan yang mencukupi.

Lebih membimbangkan, stigma ini memberi tekanan kepada pasangan muda yang baru berkahwin. Mereka mungkin berasa serba salah membuat keputusan merancang keluarga walaupun ia adalah hak mereka sebagai suami isteri. Keputusan ini bukanlah sesuatu yang boleh dinilai orang luar, sebaliknya usaha murni untuk membina masa hadapan yang stabil dan bahagia.

Dalam konteks hari ini, merancang keluarga semakin relevan. Kos sara hidup yang tinggi, tekanan kerja serta cabaran menyeimbangkan kehidupan berkeluarga dan kerjaya menjadikan perancangan penting. Kajian menunjukkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan dalam kalangan pasangan muda sering berpunca daripada kurangnya persediaan menjadi ibu bapa. Dengan perancangan yang baik, pasangan lebih bersedia dari segi emosi, mental dan fizikal untuk menyambut kehadiran anak.

Merancang keluarga juga bukan tanggungjawab wanita sahaja. Lelaki perlu memainkan peranan aktif dalam perbincangan dan keputusan. Perkongsian peranan ini mengukuhkan keharmonian dan kerjasama dalam rumah tangga.

Selain itu, pendidikan awal tentang perancangan keluarga juga penting untuk remaja dan belia. Pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif boleh mencegah kehamilan tidak dirancang dan masalah sosial lain. Golongan muda yang berilmu akan lebih matang dan mampu merancang kehidupan dengan lebih bertanggungjawab.

Dari sudut hukum, merancang keluarga adalah harus, selagi niatnya bukan menolak zuriat secara mutlak atau menggunakan kaedah yang bercanggah dengan ajaran Islam. Ia dibenarkan bagi menjaga kesihatan ibu, menjarakkan kelahiran atau memastikan kebajikan keluarga. Apa yang penting, ia dilakukan dengan persetujuan bersama dan tidak memudaratkan kesihatan.

Masyarakat perlu membuka minda dan menghentikan tanggapan negatif. Merancang keluarga bukan soal dosa atau menolak takdir, tetapi ikhtiar untuk memastikan anak dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan keupayaan yang mencukupi dari semua aspek fizikal, mental, rohani dan kewangan.

Kempen bertemakan ‘Keluarga Sejahtera, Minda Sihat’ menyeru rakyat untuk melihat perancangan keluarga sebagai kunci kepada masa hadapan yang lebih cerah. Ia bukan sekadar memilih jumlah anak tetapi mencipta keseimbangan hidup dan kebahagiaan rumah tangga.

Sudah tiba masanya masyarakat memahami merancang keluarga bukanlah menolak rezeki tetapi penghargaan terhadap amanah dengan perancangan yang rapi. Pasangan yang berani merancang ialah mereka yang berani memikul tanggungjawab, bijak merancang masa hadapan dan bersedia membina generasi berkualiti.-UTUSAN

NURFILZAH EMILY MOHAMAD KHAIRUDDIN
Kaunselor Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×