Rusuhan ganas, India kerah kawalan keselamatan ketat di Ladakh - Utusan Malaysia

Rusuhan ganas, India kerah kawalan keselamatan ketat di Ladakh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Pihak berkuasa India semalam mengenakan sekatan keselamatan ketat di Ladakh susulan rusuhan berdarah membabitkan penunjuk perasaan yang menuntut lebih banyak kuasa autonomi di wilayah Himalaya yang bersempadan dengan China.

Rusuhan tercetus di bandar Leh, pusat pentadbiran Ladakh, apabila penunjuk perasaan bertindak membaling batu ke arah polis yang cuba menyuraikan mereka, selain membakar pejabat parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP).

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India dalam satu kenyataan mengesahkan polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang digelar sebagai perusuh, sehingga menyebabkan beberapa kematian.

Menurut laporan, lebih 30 anggota polis cedera, manakala jumlah penunjuk perasaan yang cedera dilaporkan dua kali ganda lebih ramai oleh penganjur protes.

Susulan itu, sekatan pergerakan dikenakan di daerah utama Ladakh iaitu Leh dan Kargil, dengan pasar ditutup serta pasukan polis dan separa tentera berkawal di jalan raya.

“Keadaan terkawal tetapi masih tegang. Di Leh, perintah berkurung dikenakan di beberapa kawasan manakala di Kargil, pihak berkuasa menguatkuasakan Seksyen 144 yang melarang perhimpunan lebih empat orang,” kata ahli Kargil Democratic Alliance, Sajjad Kargili.

Ladakh yang merupakan sebahagian wilayah Kashmir telah lama menjadi pertikaian antara India, Pakistan dan China.

Wilayah itu sebelum ini termasuk dalam negeri separa autonomi Jammu dan Kashmir, sebelum Perdana Menteri Narendra Modi menarik balik status khasnya pada 2019 dan meletakkannya di bawah pentadbiran langsung New Delhi.

Lebih 90 peratus daripada 230,000 penduduk Ladakh disenaraikan sebagai ‘Scheduled Tribes’ oleh kerajaan India, kategori khas yang sepatutnya berhak kepada perlindungan tanah dan keistimewaan lain.

Sejak enam tahun lalu, penduduk setempat diketuai aktivis iklim terkenal, Sonam Wangchuk, mengadakan bantahan aman menuntut status khas di bawah Jadual Keenam Perlembagaan India bagi membolehkan pembentukan badan tempatan yang mempunyai kuasa autonomi terhadap tanah dan pertanian.

“Kami tiada pekerjaan, tiada demokrasi. Kerajaan pernah berjanji mahu laksanakan Jadual Keenam, malah BJP juga pernah menjanjikannya. Tetapi sehingga kini, tiada apa yang berlaku,” kata Sajjad Kargili lagi.

Beliau menegaskan ketiadaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam menyebabkan golongan muda hilang peluang pekerjaan dan menambah rasa kecewa masyarakat sehingga menyebabkan ketegangan memuncak apabila penunjuk perasaan di Leh mengadakan mogok lapar selama 15 hari. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×