PETALING JAYA: Bersatu meminta kerajaan memberikan penjelasan berhubung pelaksanaan subsidi bersasar RON95 bagi mengelakkan kekeliruan dan keresahan rakyat.
Ketua Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris mendakwa masih wujud keraguan timbul dalam kalangan rakyat terutama apabila ia tidak menggunakan fungsi Pangkalan Data Utama (PADU).
“Salah satu kebimbangan terbesar adalah kekurangan perincian yang jelas tentang mekanisme pelaksanaan dan di mana fungsi Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah diperkenalkan, rakyat bertanya ini?
“Kos PADU sahaja mencecah RM85 juta dalam tempoh dua tahun sejak diperkenalkan. Sila jawab. Selain itu, rakyat juga bimbang tentang ketepatan data dan sejauh mana ia dapat mengesan golongan yang benar-benar layak.
“Ketidakjelasan ini menimbulkan ketakutan akan berlaku keciciran, di mana mereka yang sepatutnya layak menerima subsidi mungkin tercicir daripada senarai,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Kata Razali, rakyat juga bimbang penamatan subsidi pukal akan meningkatkan kos sara hidup kerana kos operasi logistik dan pengangkutan dijangka naik, seterusnya memberi kesan langsung terhadap harga barangan keperluan.
“Walaupun subsidi RON95 hanya disasarkan kepada individu, kos operasi perniagaan seperti logistik dan pengangkutan barang mungkin akan meningkat.
“Peningkatan kos ini akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna, sekali gus meningkatkan harga barangan keperluan harian. Pengalaman dengan penyasaran subsidi diesel juga menimbulkan keraguan ini,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 bermula 30 September 2025.
Harga RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter bagi warganegara Malaysia melalui mekanisme MyKad dan aplikasi digital.
Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri berkata, golongan M40 gusar kerana sering berdepan dilema tidak cukup kaya untuk menanggung beban hidup tinggi tetapi dianggap terlalu kaya untuk menerima bantuan.
“Walaupun kerajaan menyatakan 85 hingga 90 peratus rakyat tidak akan terkesan, golongan M40 (pendapatan pertengahan) bimbang mereka mungkin termasuk dalam kelompok yang tidak layak menerima subsidi.
“Golongan ini sering kali berhadapan dengan dilema terlalu kaya untuk dibantu, tetapi tidak cukup kaya untuk menanggung beban hidup yang tinggi.
“Hal ini menimbulkan perasaan tidak adil dan bimbang bahawa mereka akan terjejas teruk. Soalnya maha kaya pun boleh terima subsidi bersasar ini atau subsidi dah tersasar,” soalnya.
Selain itu katanya, kebimbangan turut timbul terhadap tahap kesediaan infrastruktur digital dan sistem di stesen minyak bagi mengelakkan gangguan ketika proses pengesahan kelayakan dijalankan.
“Mereka takut akan berlaku gangguan atau kesukaran di stesen minyak, terutamanya pada peringkat awal pelaksanaan.
“Masih timbul persoalan sama ada sistem pengesahan kelayakan melalui MyKad atau kaedah lain akan beroperasi dengan cekap tanpa menyebabkan kesesakan atau kekeliruan,” katanya. – UTUSAN











