SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat Sempena Perkahwinan Diraja Tengku Amir Shah dan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Mengiringi keberangkatan tiba baginda, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad.
Menurut Seksyen Komunikasi Korporat JAIS, majlis doa selamat tersebut turut diadakan serentak di semua masjid, Surau Kebenaran Solat Jumaat dan Musolla Kebenaran Solat Jumaat di negeri ini bermula dari solat Maghrib.
Sempena majlis doa selamat yang berakhir selepas solat Isyak itu turut diadakan bacaan surah Yasin.
Utusan Malaysia melaporkan semalam, Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya,Cik Afzaa Fadini di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Oktober depan.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohammad Munir Bani berkata, Sultan Selangor berkenan memaklumkan kepada sekalian rakyat negeri Selangor berhubung istiadat pernikahan tersebut. – UTUSAN










