PD Forest pusat pemuliharaan pokok hutan bernilai tinggi

PD Forest pusat pemuliharaan pokok hutan bernilai tinggi

RIZUAN Shap menunjukkan biji benih keruing dan meranti yang dipetik daripada plot fenologi di PD Forest @ Sungai Menyala, Port Dickson. – UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Selain sebagai produk ekopelancongan, Hutan Simpan Sungai Me­nyala atau kini dikenali sebagai PD Forest juga menjadi pusat penyelidikan dengan plot kajian fenologi sejak tahun 1996 bagi memelihara pokok hutan bernilai tinggi di Negeri Sembilan.

Pengawas Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Rizuan Shap, 55, berkata, fenologi merujuk kepada kajian pemantauan kitaran semula jadi tumbuhan termasuk musim berbunga dan berbuah yang membolehkan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengenal pasti pokok induk bagi tujuan kutipan biji benih.

Menurut Rizuan, kawasan tersebut kini menjadi tapak utama pengumpulan benih bagi spesies seperti Meranti Tembaga, Keruing Merah, Meranti Rambai Daun dan Nemensu.

“Benih yang dikutip digunakan bagi tujuan penanaman semula pokok di dalam hutan simpan kekal di seluruh negeri sekali gus menjamin kelestari­an jangka panjang.

“PD Forest bukan hanya kawasan rekreasi, tetapi juga tempat kami jalankan kerja-kerja pemuliharaan spesies pokok hutan yang bernilai tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rizuan menjelaskan antara kaedah utama yang digunakan adalah dengan memanjat pokok bagi mengutip benih yang matang, kerana cara itu boleh meningkatkan kadar kejayaan sehingga 90 peratus berbanding hanya 40 peratus jika dikutip di lantai hutan.

“Kalau dibiarkan jatuh, sebahagiannya rosak atau hilang. Jadi, kami akan memanjat untuk pastikan kualiti benih terjamin,” katanya.

Tambah Rizuan, usaha ber­kenaan dilaksanakan bagi memastikan bekalan benih sentiasa mencukupi.

“Pemuliharaan terancang membolehkan Negeri Sembilan menjadi antara negeri yang konsisten membekalkan stok benih untuk program penanaman semula. Hutan simpan di Negeri Sembilan bukan sahaja terus terpelihara, malah memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, pemanjat pokok, Hassan Abdul Rahman, 49, berkata, dia mengakui tugasan tersebut penuh cabaran kerana perlu berdepan risiko disengat serangga serta keadaan dahan yang tidak menentu.

“Kadang-kadang kita rasa dahan tu kukuh, tetapi bila pijak boleh patah. Itu sebabnya tinjauan keselamatan perlu dibuat terlebih dahulu. Apa pun, keselamatan tetap nombor satu,” katanya.

Tambah Hassan, meskipun berdepan pelbagai cabaran, kerja memanjat tetap dilakukan kerana setiap pokok yang dipilih pasti menghasilkan benih berkualiti tinggi yang penting untuk pemuliharaan hutan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×