KLIA lapangan terbang paling terhubung - Utusan Malaysia

KLIA lapangan terbang paling terhubung

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diiktiraf sebagai lapangan terbang paling terhubung di rantau Asia Pasifik, dan menduduki tempat keempat di peringkat global, berdasarkan Indeks Megahubs OAG 2025. 

Sejak ranking Megahubs pertama pada 2015, KLIA telah meningkatkan ketersambungannya sebanyak 22 peratus, dan kini turut memegang kedudukan nombor satu dunia dalam kalangan megahub syarikat penerbangan tambang rendah, dengan AirAsia menyumbang sekitar 36 peratus daripada operasinya.

Pengiktirafan itu didorong oleh momentum kukuh di KLIA. 

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan kekuatan hab KLIA dan sumbangannya kedudukan Malaysia di peringkat global. 

“Sementara kami bersedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, keutamaan kami adalah untuk mengembangkan ketersambungan, membina kapasiti, dan membayangkan semula perjalanan penumpang. 

“Kami mahu KLIA bukan sahaja menjadi sumber kebanggaan negara, tetapi sebagai hab bertaraf dunia yang memacu pertumbuhan Malaysia dan menghubungkan negara kita kepada perjalanan global masa depan,” katanya.

Tahun ini sahaja, KLIA telah mengalu-alukan ketibaan enam syarikat penerbangan baharu dan melancarkan 11 laluan penerbangan baharu merentasi rangkaiannya. 

Kapasiti penerbangan jarak jauh telah diperluaskan dengan frekuensi yang lebih tinggi daripada syarikat penerbangan global, manakala kehadiran syarikat penerbangan China meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahap pra-pandemik. 

Sehingga Ogos 2025, KLIA merekodkan 41 juta penumpang, peningkatan sembilan peratus tahun ke tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×