LIPIS: “Kalau tiada anak yang sanggup menjaga, entah apa nasib saya,” luah seorang peneroka Felda Sungai Koyan 2, Samsudin Lop yang kini diuji pelbagai penyakit kronik sejak beberapa tahun lalu.
Samsudin, 69, yang menderita angin pasang, gout dan darah tinggi tidak lagi mampu melakukan kerja berat seperti dahulu.
Kesihatannya semakin merosot selepas si isteri meninggal dunia akibat kanser payudara pada Ogos 2020, menyebabkan dirinya hampir keseorangan di usia senja.
Di sebalik kepayahan itu, dia bersyukur kerana anak bongsunya, Nur Farah Wahdani, 28, sanggup meninggalkan kerjaya di sebuah syarikat di Seri Kembangan, Selangor pulang ke kampung menjaganya.
“Farah banyak berkorban. Dia berhenti kerja hanya untuk temankan saya. Kalau dia tiada, saya tidak tahu bagaimana mahu lalui hidup dalam keadaan begini.
“Saya sedar anak-anak lain ada keluarga masing-masing, jadi saya benar-benar terharu kerana Nur Farah sanggup lepaskan kerjayanya demi saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Samsudin baharu selesai menjalani pembedahan angin pasang di Hospital Kuala Lipis pada 5 Ogos lalu selepas bertahun menahan sakit.
Katanya, semangatnya untuk terus kuat tidak lain kerana sokongan anak-anak, khususnya Nur Farah yang setia berada di sisi.
Biarpun diuji dengan kesakitan, Samsudin tetap bersyukur kerana Allah mengurniakan seorang anak yang tidak pernah berkira tenaga dan masa untuk menjaganya.
“Doa saya setiap hari, biarlah anak-anak sentiasa dilindungi Allah dan diberi kebahagiaan kerana jasa mereka menjaga saya, terutama Nur Farah. Itu sahaja yang saya mampu balas,” katanya sebak. – UTUSAN










