Lelaki warga Nigeria didakwa miliki kad ATM wanita tempatan

Lelaki warga Nigeria didakwa miliki kad ATM wanita tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) seorang wanita tempatan dan tinggal melebihi masa tanpa permit sah di negara ini, September lalu.

Tertuduh, Udoh Imeh, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan, tertuduh telah memiliki satu kad ATM Maybank milik seorang wanita tempatan berusia 44 tahun dengan maksud untuk menghalang atau mengecewakan pemilik sebenar daripada mendapat haknya.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 2.20 petang di Pangsapuri Desa Palma, Nilai pada 8 September lalu.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas lawatan sosial tanpa sebarang pas atau permit yang sah pada 12 September 2025.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama.

Peguam, Renalyn Rivera yang mewakili tertuduh berkata, setakat ini anak guamnya tidak bercadang memohon jaminan sehingga pasportnya diperoleh.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes 29 Oktober depan.

Sementara itu, dua rakan tertuduh iaitu  Hendry Chinonso Udemba, 39, warga Nigeria dan Eric Onumah, 49, warga Ghana pula didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas lawatan sosial pada tarikh sama dengan Udoh.

Mahkamah menetapkan sekiranya mereka gagal membayar denda, boleh dipenjara enam bulan.

Peguam, Christopher Joseph yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman denda yang rendah kerana mereka telah berkahwin dan mempunyai tanggungan dua orang anak.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Norshafatihah Nor Azmi. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×