KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing yang videonya tular kerana hampir merempuh seorang pejalan kaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta secara merbahaya.
Chew Tiong Han, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu secara merbahaya kepada orang awam dengan mengambil kira segala hal keadaan di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, kira-kira pukul 6.30 petang, 23 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000, selain butiran sabitan akan diendorskan pada lesen memandu serta hilang kelayakan memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Gursharonjit Kaur, merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung anak serta bapa yang menghidap penyakit jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 November ini.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 32 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok menunjukkan kereta dipandu tertuduh dari lorong kanan hampir melanggar seorang pejalan kaki wanita sehingga menyebabkan barang dibawanya terjatuh.
Difahamkan, wanita berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN










