1,000 lagi pelajar sakit akibat program makanan percuma Prabowo

1,000 lagi pelajar sakit akibat program makanan percuma Prabowo

MURID di sebuah sekolah rendah di Jakarta sedang menikmati hidangan yang disediakan menerusi program makanan percuma kerajaan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Lebih 1,000 kanak-kanak di wilayah Jawa Barat dilaporkan mengalami keracunan makanan minggu ini selepas makan hidangan tengah hari di sekolah, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan program makanan percuma kerajaan Indonesia.

Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, berkata kejadian itu berlaku di empat kawasan berbeza, menjadikan ia siri terbaru insiden keracunan melibatkan ribuan pelajar sekolah di bawah program bernilai berbilion dolar Presiden Prabowo Subianto.

Badan bukan kerajaan (NGO) tempatan segera menggesa kerajaan menggantung pelaksanaan program tersebut sementara siasatan dijalankan bagi memastikan aspek keselamatan makanan dipatuhi.

Kes terbaharu ini menyusul selepas 800 pelajar di Jawa Barat dan Sulawesi Tengah jatuh sakit minggu lalu, selepas memakan makanan yang dibekalkan melalui skim sama.

Program makan berkhasiat percuma itu merupakan antara janji utama Presiden Prabowo dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan pelajar dan mengurangkan masalah kekurangan zat makanan, namun siri insiden keracunan kini memberi tekanan besar terhadap keberkesanannya.

Persoalan mula timbul mengenai piawaian dan pemantauan program itu, yang berkembang sehingga meliputi lebih 20 juta penerima, dengan sasaran untuk memberi makan kepada 83 juta daripada 280 juta penduduk Indonesia menjelang akhir tahun ini.

Bajet program bernilai 171 trilion rupiah (RM42.5 bilion) itu dijangka berganda pada 2026.

Mulyadi berkata, lebih 470 pelajar jatuh sakit di Bandung Barat pada 22 September selepas menikmati makan tengah hari percuma, manakala tiga lagi kejadian keracunan berlaku semalam di kawasan sama dan di wilayah Sukabumi, yang menjejaskan sekurang-kurangnya 580 pelajar.

“Kita mesti menilai mereka yang mengendalikan program ini… dan yang paling penting ialah bagaimana menangani trauma pelajar selepas makan makanan tersebut,” katanya.

Ketua Agensi Pemakanan Kebangsaan, Dr Dadan Hindayana, yang menyelia program tersebut berkata, dapur terlibat dengan kes keracunan kini digantung.

Sebelum insiden minggu ini, sekurang-kurangnya 6,452 kanak-kanak di seluruh negara telah mengalami keracunan makanan akibat program itu sejak ia dilancarkan pada Januari, menurut badan pemikir Network for Education Watch.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×