NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘tiga kejadian jahat’ semasa menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini, pada Selasa.
Trump berkata, Perkhidmatan Rahsia akan menyiasat insiden eskalator, teleprompter dan sistem yang tidak berfungsi semasa beliau berucap.
PBB menjelaskan, kejadian yang berlaku terhadap Trump adalah secara tidak sengaja, dan sebahagiannya menyalahkan kakitangan Rumah Putih.
Namun, dalam catatan panjang dan marah di media sosial, Trump menyifatkan rentetan insiden itu sebagai ‘konspirasi jahat’, dan menuntut individu terlibat ditangkap.
“Ini bukan kebetulan, ini sabotaj tiga kali ganda di PBB. Mereka patut malu dengan diri sendiri.
“Saya akan menghantar salinan surat ini kepada Setiausaha Agung, dan menuntut siasatan segera. Tidak hairanlah PBB tidak mampu menjalankan tugas yang sepatutnya mereka lakukan,” kata Trump di platform Truth Social.
Rakaman menunjukkan Presiden berusia 79 tahun itu dan isteri, Melania Trump, menaiki eskalator di ibu pejabat PBB sebelum ia berhenti secara mengejut, memaksa mereka berjalan menaiki tangga.
Kemudian, ketika beliau memulakan ucapan, Trump menyedari teleprompternya tidak berfungsi.
Sebahagian besar ucapannya dihabiskan dengan mengkritik badan dunia itu, menuduhnya membiayai penghijrahan haram yang menjadikan negara Barat ‘neraka’ dan gagal menyokong usaha perdamaian beliau di Gaza serta Ukraine.
Namun, walaupun Trump bersikap agak bergurau mengenai insiden eskalator, sikapnya menjadi lebih tegas sehari kemudian.
“Aib sebenar berlaku di PBB semalam. Bukan satu, bukan dua tetapi tiga kejadian sangat jahat!,” tulis Trump.










