Penolong jurutera PBT didakwa terima rasuah RM800

Penolong jurutera PBT didakwa terima rasuah RM800

NURKHALID Senin dituduh menerima rasuah sebanyak RM800 di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang Penolong Jurutera Awam di Majlis Daerah Tangkak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM800, empat tahun lalu.

Tertuduh, Nurkhalis Senin, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurkhalis bersetuju menerima wang RM800 daripada seorang kontraktor menerusi transaksi atas talian, sebagai balasan membabitkan kerja-kerja membaikpulih kerosakan rumah bagi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Fasa ke dua tahun 2020.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank Jalan Muar, Tangkak pada 10 Mei 2021. Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 sebagai pengajaran kepada tertuduh dan juga individu lain.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Suhaila Shafiuddin memohon jaminan lebih rendah kerana anak guamnya mempunyai prestasi kerja yang baik dan pernah memenangi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2013.

“Tertuduh berpendapatan RM4,000 sebulan, sudah berkahwin, masih bekerja dan mempunyai rumah di Tangkak. Tertuduh juga telah memberi kerjasama penuh sepanjang kes disiasat sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain menetapkan tarikh 24 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×