ROM: Itali menghantar kapal tentera laut untuk membantu konvoi bantuan antarabangsa yang membawa bantuan ke Gaza, selepas diserang oleh 12 dron di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Konvoi Global Sumud Flotilla menggunakan kira-kira 50 bot awam untuk cuba memecah sekatan tentera laut Israel ke atas Gaza, dengan ramai peguam, aktivis berada di atas kapal, termasuk penggerak perubahan iklim dari Sweden, Greta Thunberg.
Kapal tersebut diserang oleh 12 dron di perairan antarabangsa sejauh 56 kilometer (km) dari pulau Gavdos, Greece, menurut jurucakap March to Gaza Greece, Marikaiti Stasinou, yang merupakan sebahagian daripada konvoi itu.
Global Sumud Flotilla berkata, serangan itu menjejaskan 11 kapal dan menyalahkan Israel serta sekutunya atas letupan dron tidak dikenali serta gangguan komunikasi.
Kumpulan konvoi bantuan tersebut turut menegaskan tidak pernah gentar dengan ancaman itu dan akan terus berlayar menuju Gaza.
Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto dalam kenyataan berkata, konvoi laut itu disasarkan oleh pelaku yang masih tidak dikenal pasti.
Beliau turut menyuarakan kecaman paling tegas terhadap insiden tersebut.
Crosetto berkata, kapal frigat pelbagai guna Itali, Fasan, yang sebelum ini belayar ke utara Crete, sudah dalam perjalanan menuju konvoi itu untuk kemungkinan operasi menyelamat.
Seorang pegawai Itali berkata, tentera laut digerakkan terutama untuk membantu rakyatnya yang berada di atas kapal.
Israel berulang kali mengkritik konvoi bantuan tersebut, menuduh aktivisnya bersubahat dengan kumpulan pejuang Hamas.- AGENSI










