KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal perlu menjawab notis tunjuk sebab kerana menghina mahkamah dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.
Menurut peguam Datuk Ram Singh, pegawai pengendali inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah memaklumkan Mahkamah Koroner bahawa notis tersebut telah diserahkan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, malam semalam.
“Pegawai pengendali telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa notis telah diserahkan terhadap Datuk Seri Mohd. Shafie malam tadi. Jadi beliau ada tujuh hari untuk memberikan penjelasan sebelum sebarang prosiding komital (menghina mahkamah) dikenakan terhadapnya,” katanya.
Mohd. Shafie merupakan individu kedua yang dikenakan notis tunjuk sebab kerana menghina mahkamah berkaitan inkues kematian remaja terbabit.
Pada 22 September lalu, Mahkamah Koroner memerintahkan agar satu notis tunjuk sebab kerana menghina mahkamah dikeluarkan kepada Mohd. Shafie atas kenyataan yang dibuat yang antara lain menyatakan kematian Zara Qairina adalah satu pembunuhan dan mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik.
Pada 10 September lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan notis serupa terhadap aktivis, Che Muna Din atau lebih dikenali sebagai Mona Din yang dalam hantaran di Facebook miliknya mempertikaikan keterangan Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu.
Selain itu, peguam Rizwandean M. Borhan yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina turut memberitahu, mahkamah pada hari ini menimbulkan persoalan sama ada media dibenarkan untuk membuat liputan prosiding yang dijalankan secara tertutup itu.
Semenjak Isnin lalu, prosiding inkues dijalakan secara tertutup bagi melindungi identiti saksi kanak-kanak yang akan memberikan keterangan dalam inkues.
“Sebenarnya ada soalan dari Mahkamah Koroner iaitu adakah media dibolehkan membuat liputan prosiding ‘in-camera’ tanpa mendedahkan identiti saksi kanak-kanak.
“Kami dan pihak-pihak berkepentingan yang lain tidak membuat sebarang bantahan terhadap isu berkenaan. Bagaimanapun, pegawai pengendali memberitahu pihaknya perlu mendapatkan arahan terlebih dahulu. Jadi, kita lihat esok jika ada ketetapan baru, media (mungkin) boleh membuat liputan,” katanya.
Berdasarkan Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001, media tidak boleh mendedahkan nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa butiran mana-mana kanak-kanak, tidak kira saksi, mangsa atau tertuduh yang mungkin membolehkan kanak-kanak tersebut dikenal pasti.
Dalam inkues yang memasuki hari ke-13, seramai tiga saksi kanak-kanak yang akan dipanggil memberi keterangan dan pada ketika ini, dua kanak-kanak telah memberi keterangan sejak 22 September lalu. – UTUSAN










