KLUANG: Selepas lebih tiga dekad hidup bergelandangan dan menjadikan bawah jambatan Sungai Mengkibol sebagai tempat berteduh, seorang lelaki kini menarik nafas lega apabila diberikan tempat tinggal baharu.
Ia menerima bantuan rumah sewa yang ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri Johor.
Atan Mohamad, 66, berkata, selepas berpisah dengan isteri sejak 30 tahun lalu dia hanya menyara hidup dengan mencari barang lusuh.
Katanya, dia pernah menyewa sebuah rumah di Kampung Melayu namun tidak mampu menanggung kos sewa sebelum memilih jambatan sebagai tempat tidur.
“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya apabila mendapat tahu menerima bantuan rumah di Rumah Pangsa Haji Manan di bawah kendalian Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).
“Insya-Allah saya akan menjaganya sebaik mungkin. Terima kasih kepada semua yang membantu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah berkata, semua kos sewa rumah berkenaan ditanggung sepenuhnya MAIJ.
“Kita berharap bantuan ini akan mengubah perjalanan hidup Atan dan membolehkannya menjalankan pekerjaan dengan lebih sempurna pada masa depan,” katanya.-UTUSAN.










