ISU keselamatan jalan raya melibatkan warga emas kembali menjadi tumpuan selepas data Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan hampir 7,000 kematian direkodkan dalam kalangan pemandu berusia 61 tahun ke atas antara 2019 hingga 2024.
Dalam tempoh sama, 19,812 kemalangan turut membabitkan golongan ini, menimbulkan persoalan besar, adakah warga emas wajar terus memandu tanpa sebarang penilaian kesihatan atau kognitif?
Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), usia bukanlah satu-satunya penyumbang kemalangan. Namun, kemerosotan fungsi fizikal dan kognitif yang berlaku secara semula jadi dengan pertambahan usia boleh menjejaskan keupayaan memandu dengan selamat.
Oleh itu, langkah penilaian berkala terhadap pemandu warga emas wajar dipertimbangkan tanpa menafikan hak mereka untuk terus bergerak bebas.
Beberapa negara maju memperkenalkan sistem penilaian yang berstruktur untuk pemandu warga emas. Di Jepun, pemandu berumur 75 tahun ke atas perlu menjalani ujian kognitif semasa memperbaharui lesen. Jika didapati berisiko, mereka akan melalui pemeriksaan perubatan lanjutan.
Bagi pemandu berusia 70 hingga 74 tahun pula, mereka diwajibkan menghadiri latihan keselamatan khas untuk meningkatkan kesedaran tentang perubahan kemampuan diri.
Namun begitu, realiti Malaysia berbeza. Infrastruktur pengangkutan awam di negara ini masih belum menyeluruh terutama di kawasan luar bandar.
Penggunaan bas lantai rendah masih terhad dan laluan terus ke hospital atau pasar tidak konsisten. Perkhidmatan e-hailing pula bergantung kepada lokasi dan waktu operasi menjadikan kenderaan persendirian satu-satunya pilihan untuk warga emas kekal aktif.
Sebaliknya, di Hong Kong, semua warga emas berusia 60 tahun ke atas boleh menggunakan pengangkutan awam dengan tambang tetap melalui skim subsidi kerajaan. Terdapat juga perkhidmatan van khas untuk membawa mereka ke klinik dan pusat komuniti. Model seperti ini masih belum diadaptasi sepenuhnya di Malaysia.
Disebabkan itu, Malaysia tidak wajar meniru bulat-bulat model luar tanpa menyediakan sistem sokongan mobiliti yang selamat, mampu milik dan mesra warga emas. Jika tidak, kita berisiko menjarakkan golongan ini dari aktiviti sosial, ibadah dan sumber pendapatan, hanya kerana mereka tidak lagi dibenarkan memandu.
Sebaliknya, pendekatan berperingkat dan berdasarkan data tempatan adalah lebih sesuai. Antara langkah awal ialah menjalankan kajian terperinci yang memisahkan data kemalangan mengikut usia, lokasi, punca kemalangan dan jenis kenderaan. Ini penting bagi mengelakkan stereotaip setiap kemalangan yang melibatkan warga emas berpunca daripada kelemahan mereka.
Sesi pendengaran awam juga boleh diadakan di seluruh negara, melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) warga emas, pakar perubatan, agensi kerajaan dan orang ramai. Hasil dapatan boleh membentuk asas kepada projek perintis yang dijalankan di beberapa negeri mewakili demografi bandar, luar bandar dan pedalaman.
Sebagai contoh, pemandu berusia 75 tahun ke atas yang ingin memperbaharui lesen boleh menjalani pemeriksaan kesihatan asas seperti ujian penglihatan, pendengaran dan refleks, disusuli ujian kognitif ringkas yang disesuaikan dengan konteks tempatan. Data seperti kadar lulus, punca kegagalan dan kos akan membantu menilai keberkesanan dasar ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Dengan pendekatan yang adil, praktikal dan berpaksikan realiti tempatan, kita boleh mengekalkan keseimbangan antara keselamatan awam dan maruah mobiliti warga emas.-UTUSAN
DR. NORDIANA MASHROS
Fakulti Kejuruteraan Awam,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










