Malaysia, Timor-Leste perkukuh hubungan dua hala - Utusan Malaysia

Malaysia, Timor-Leste perkukuh hubungan dua hala

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Timor-Leste mencapai kesepakatan untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan keselamatan, selaras dengan usaha Timor-Leste menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11.

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu merupakan detik bersejarah yang memperkukuh hubungan dua hala sejak hubungan diplomatik dimeterai pada 2002.

“Kami berbincang dalam suasana mesra dan produktif, serta bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama dalam sektor penting seperti pelaburan, pendidikan tinggi, kesihatan serta pelancongan.

“Pendidikan dan latihan termasuk pemberian biasiswa baharu menjadi antara keutamaan kami,” katanya dalam sidang akhbar bersama yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, hari ini.

Gusmao turut menyambut baik inisiatif pembukaan laluan penerbangan baharu serta pengecualian visa bagi rakyat kedua-dua negara yang dilihat mampu mengeratkan hubungan rakyat dan memperkukuh persefahaman budaya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan berterusan terhadap pembangunan Timor-Leste dan usaha negara itu menyertai ASEAN.

“Kami turut sependapat dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa termasuk soal keamanan, demokrasi dan Palestin. Kami bersama-sama menuntut supaya keganasan dihentikan dan undang-undang antarabangsa dihormati,” katanya.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya menegaskan komitmen Malaysia terhadap usaha Timor-Leste untuk menyertai ASEAN serta memperluaskan kerjasama dua hala.

Tambah beliau, Malaysia menyambut baik langkah proaktif Timor-Leste dalam mempercepat penyertaan ke dalam ASEAN dan bersedia menjadi tuan rumah kepada majlis rasmi berkaitan perkara itu.

“Kami membincangkan pelbagai mekanisme bagi memperkukuh hubungan dua hala termasuk pelaburan dalam sektor perdagangan, pelancongan, pendidikan, kesihatan dan tenaga,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan hubungan kukuh antara kedua-dua negara yang turut merangkumi aspek pertahanan, kesalinghubungan, latihan serta perkongsian maklumat strategik.

“Sebagai negara maritim, kita menghadapi cabaran yang sama termasuk isu pencerobohan, keselamatan dan penangkapan ikan secara haram. Maka, kerjasama erat amat penting bagi menjamin kedaulatan dan keselamatan wilayah kita,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×