KUALA LUMPUR : Polis menjalankan siasatan kemungkinan terdapat kumpulan-kumpulan tertentu yang terlibat di dalam aktiviti pengedaran dadah di dalam negara mahupun untuk dieksport ke luar negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan berterusan akan diambil Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dari masa ke semasa.
“Seperti sidang media saya minggu lalu, kita telah menumpaskan makmal dadah yang berada di dalam negara ini.
“Jadi siasatan masih dijalankan. Jadi rentetan daripada itu, kita akan membuat serbuan terutama di negeri-negeri yang berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Pada 17 September lalu, polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah selepas menyerbu dua makmal haram memproses dadah jenis ekstasi dalam tiga serbuan di sekitar Kepong membabitkan rampasan bernilai lebih RM590 juta pada 10 September lalu.
Operasi dilaksanakan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dijalankan hasil risikan dan pemantauan rapi di sekitar Lembah Klang.
Menerusi operasi pukul 8 hingga 11 pagi itu berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 51 tahun. – UTUSAN










