PASIR MAS: Seorang mudir pondok di Tumpat, dekat sini dikenali sebagai Abuya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.
Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki yang berusia 14 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di ruang tamu sebuah rumah dan masjid di sebuah madrasah di Kubang Batang, Tumpat antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5.30 petang bermula 3 Mac hingga 9 Jun lalu.
Bagi keenam-enam pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum bawah Seksyen 14 Akta Yang Sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Na’ilah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Irwan Sumadi.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan amang seksual.
Mohd. Irwan bagaimanapun memohon jaminan minima ditawarkan memandangkan anak guamnya telah dikenakan jaminan RM45,000 selepas berdepan tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki selain memiliki gambar lucah di mahkamah yang sama pada 11 September lalu.
“Anak guam saya juga dikenakan jaminan RM18,000 untuk kes pada tarikh 18 September lepas di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
“Jumlah keseluruhannya ialah RM63,000, walaupun berbeza kes perlu diambil kira,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk semua pertuduhan dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak boleh mengganggu saksi.
Mohamad Aswadi kemudian membayar jaminan dan mahkamah menetapkan 11 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Utusan Malaysia 11 September lalu melaporkan, seorang mudir di sebuah pondok di Tumpat, dekat sini didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.
Pada 19 September pula, Abuya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun. – UTUSAN










