SEREMBAN: Kesemua 13 unit premis perniagaan MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berada di Taman Senawang Perdana di sini dalam proses pembaikan sebelum diserahkan kepada peniaga.
Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menerusi kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, tujuh unit telah siap dibaiki pada 12 September lalu manakala bakinya dijangka siap hujung bulan ini.
“Sebanyak 13 unit MyKiosk terbabit sebelum ini dipindahkan dari Jalan TJ 2/2 Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar ke Taman Senawang Perdana namun memerlukan pembaikan menyeluruh akibat kerosakan.
“Antara kerosakkan dikenal pasti termasuk kebocoran, kerosakan pintu, kerosakan bateri solar serta beberapa lagi masalah lain yang perlu diperbaiki sebelum diserahkan peniaga,” menurut kenyataan itu.
Pada 21 September lalu, Utusan Online melaporkan sebahagian premis perniagaan MyKiosk KPKT yang diletakkan di Taman Perdana Senawang di sini terbiar malah dalam keadaan kotor dipenuhi najis burung.
Beberapa penduduk memaklumkan premis MyKiosk itu telah lama berada di kawasan tersebut namun tidak pernah digunakan oleh peniaga sejak ia ditempatkan.
Penduduk juga meminta pihak berwajib membersihkan unit-unit premis perniagaan itu yang telah dicemari najis burung.
Mengulas mengenai isu tersebut, MBS berkata, kerja-kerja pembersihan dijalankan pada 17 September lalu.
“Pembersihan bagi kesemua MyKiosk tersebut telah dijalankan pada 17 September lalu oleh Jabatan Penyelenggaraan MBS dalam memastikan tiada sebarang sebaran penyakit berlaku,” katanya.










