Pembantu tadbir mengaku tak bersalah buat tunai gaji palsu

Pembantu tadbir mengaku tak bersalah buat tunai gaji palsu

NURUL Nadiah Azlan (kiri) didakwa menggunakàn dokumen palsu di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu tadbir di Majlis Daerah Labis, Segamat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memalsukan dokumen penyata gaji miliknya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Nadiah Azlan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurul Nadiah didakwa dengan curangnya telah menggunakan penyata gaji bulan Februari 2022 atas namanya sendiri untuk membuat tuntutan tunggakan gaji berjumlah RM810.

Tertuduh juga didakwa dengan curangnya telah menggunakan penyata gaji bulan April 2022 atas namanya sendiri untuk membuat tuntutan berkenaan elaun kritikal berjumlah RM800.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Majlis Daerah Labis, Segamat pada Februari dan April 2022. Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling mencadangkan mahkamah memberikan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh bagi memastikan kehadirannya pada prosiding akan datang.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh, Nur Zafirah Norizan memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan tertuduh atas alasan anak guamnya bekerja dengan pendapatan bersih RM1,300 selain perlu menanggung dua anak kecil berusia 9 dan 10 tahun serta seorang adik berstatus orang kurang upaya (OKU) dan ibu yang telah uzur.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, selain turut menetapkan tarikh 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×