KUALA TERENGGANU: Berpengalaman hampir 30 tahun mengendalikan kes kebakaran, lemas dan kemalangan maut, namun tugasan menguruskan jenazah pesakit Covid-19 disifatkan paling mencabar buat Mohd. Zaharin Yusof sepanjang berkhidmat sebagai pasukan penyelamat.
Mohd. Zaharin yang merupakan Penyelia Pasukan Khas Covid-19 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu berkata, proses pengebumian yang memakan masa kira-kira satu jam 30 minit itu cukup menguji kekuatan mental dan fizikalnya sebagai seorang anggota bomba apatah lagi dalam pakaian peralatan perlindungan diri (PPE).
Katanya, dalam tempoh kira-kira dua minit lengkap memakai PPE, peluh sudah membasahi seluruh badan selain kesukaran bernafas, namun amanah itu tetap dilaksanakan hingga sempurna bersama tujuh anggota lain dan dibantu lima kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah.
“Ini merupakan kali kedua saya terlibat dalam pengurusan jenazah dan agak sukar melakukan tugasan dalam PPE kerana pergerakan terbatas di samping perlu berhati-hati ketika mengangkat jenazah ke liang lahad bagi memastikan jangkitan tidak merebak.
“Selain menjaga keselamatan pasukan, saya turut berdepan dengan waris si mati yang dalam kesedihan kerana bukan sahaja tidak dapat menatap wajah insan tersayang buat kali terakhir, malah tidak dibenarkan menguruskan pengebumian,” katanya di sini semalam.
Mohd. Zaharin bagaimanapun bimbang dengan peningkatan kes positif dan angka kematian akibat Covid-19 kerana dalam tempoh seminggu ini sebanyak empat maut dengan dua dikendalikan pasukannya membabitkan jenazah di Kampung Losong dan Kampung Pasir Panjang.
Seorang lagi anggota bomba, Mohd. Khaizul Abdul Rahman berkata, perasaan hiba menguruskan jenazah pesakit Covid-19 turut membuatnya menitiskan air mata ketika bertugas di tanah perkuburan.
Katanya, sebagai orang terakhir bersama jenazah yang tidak dikenali, situasi itu cukup menginsafkan sekali gus memberi iktibar agar sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan dijauhi daripada jangkitan Covid-19.
“Covid-19 bukan perkara main-main, kami terlibat menguruskan jenazah dan menyaksikan kesedihan ahli keluarga. Saya berharap semua pihak tidak sambil lewa lagi dan melanggar SOP kerana kita tidak mahu lebih ramai yang dijangkiti, kita mesti jaga kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE











