Pemandu pelancong perlu kuasai tiga bahasa asing

Pemandu pelancong perlu kuasai tiga bahasa asing

TIONG King Sing bergambar selepas program libat urus bersama penggiat industri pelancongan Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemandu pelancong di negara ini perlu menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa asing bagi memastikan perkhidmatan diberikan lebih berkualiti.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu juga penting kerana terdapat maklum balas diterima daripada pelancong yang kurang berpuas hati dengan penerangan diberikan pemandu pelancong.

Katanya, ia sama ada penerangan itu terlalu ringkas atau sukar difahami kerana keterbatasan bahasa.

“Sepatutnya mereka (pemandu pelancong) dapat memberi penerangan lebih mendalam mengenai destinasi lawatan khususnya lokasi bersejarah di negara ini, bukannya cukup syarat sahaja.

“Ada juga yang sukar memahami bahasa Inggeris yang digunakan oleh pemandu pelancong kita, maka penguasaan bahasa asing lain dilihat perlu untuk meningkatkan kepuasan pelancong,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Libat Urus Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurutnya, pemilihan bahasa bergantung kepada minat individu, namun kementerian akan menaja sepenuhnya kos pembelajaran tersebut menerusi kerjasama dengan agensi pelancongan.

“Kita tidak menetapkan pemilihan bahasa asing tersebut, terpulang kepada mereka (pemandu pelancong),”ujarnya.

Selain itu, King Sing turut menggesa syarikat pelancongan memperkenalkan produk dan destinasi baharu yang lebih kreatif menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Agensi pelancongan perlu mengubah produk mereka walaupun sudah 10 tahun. Mereka perlu membuat pakej baharu yang lebih menarik dan kreatif untuk menarik pelancong,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×