KLUANG: Orang ramai yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Mengkibol di sini bukan sahaja perlu menunggu giliran sehingga tiga jam tetapi juga beratur di dalam bilik berbahang kerana penyaman udara tidak berfungsi.
Seorang pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Saleha, 39, berkata, keadaan itu berlaku setiap hari kepada pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan selain untuk janji temu di klinik berkenaan.
Dia juga mengakui mengalami masalah sama kerana sering membawa anaknya mendapat rawatan.
Dia berkata kadang kala lebih rela membayar lebih di klinik swasta bagi mendapatkan rawatan lebih cepat dan selesa.
“Saya datang ke sini pukul 8 pagi tadi dengan harapan akan selesai sebelum pukul 10 pagi, namun kini sudah lebih tiga jam menunggu masih belum dapat bertemu dengan doktor lagi.
“Sudahlah terpaksa menunggu lama, keadaan dalam bilik menunggu sudah macam berada dalam bilik sauna apabila penyaman udara dikatakan rosak dan tidak berfungsi dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi pengadu, Rahmat Ali, 55, berkata, keadaan itu sudah berlaku lama dan tidak pernah selesai.
“Fenomena menunggu giliran yang lama ini ibarat satu perkara wajib berlaku di mana-mana klinik kerajaan,” katanya.-UTUSAN.










