TELUK INTAN: Pemilik bot penambang warisan yang menyeberangi Sungai Perak di sini kekal beroperasi dengan tambang serendah RM1 bagi individu manakala 70 sen untuk sebuah motosikal.
Muhamad Syafiq Mohd. Yasin, 35, berkata, meskipun keuntungan adalah keperluan, keutamaannya adalah untuk memastikan perkhidmatan tersebut terus memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Saya ambil alih operasi ini tiga bulan lalu dan tidak pernah terlintas untuk menaikkan tambang. Bagi saya, yang penting bot ini terus beroperasi demi kemudahan orang kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambahnya, walaupun perkhidmatan itu dijalankan secara persendirian tanpa sokongan mana-mana pihak, dia tetap komited memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang.
“Sokongan daripada penduduk Kampung Jejawi, Sungai Timah, Sungai Buaya, Ulu Dedap dan seberang Perak amat memberangsangkan. Mereka bergantung kepada bot ini untuk ke bandar Teluk Intan bagi urusan membeli racun tanaman, peralatan pertanian dan barang keperluan harian,” ujarnya.
Katanya, hasil kutipan tambang digunakan untuk menyelenggara bot termasuk membaiki enjin yang rosak.
Jelasnya, tiada penumpang mengeluh tentang keadaan bot atau harga tambang yang tidak berubah sejak sekian lama.
“Ada yang hairan kenapa tambang masih RM1 sedangkan di tempat lain lebih tinggi tetapi saya percaya dengan tambang harga rendah ini saya dapat terus berbakti,” katanya.
Perkhidmatan bot penambang itu bukan sahaja menjadi nadi pengangkutan harian, malah turut menjadi tarikan pelancongan tempatan terutama pada hujung minggu, cuti umum dan musim cuti sekolah.
“Ramai pelancong mahu merasai pengalaman menaiki bot warisan ini sambil menuju ke lokasi ikonik seperti Menara Condong dan Pulau Bangau. Tambang hanya RM1 tetapi kenangannya tidak ternilai,” jelas Muhamad Syafiq.
Menariknya, bot penambang itu turut menjadi medium perpaduan antara kaum.
Penumpangnya terdiri daripada pelbagai bangsa, Melayu, Cina, India serta warga asing seperti Pakistan, Bangladesh dan Myanmar yang bekerja di ladang dan kebun sekitar.
“Dalam perjalanan singkat itu, saya dapat belajar sedikit sebanyak bahasa dan budaya mereka. Itu satu pengalaman yang tidak ternilai,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Pematang Guntung, Norasza Md Lana, 41, berkata, dia bergantung kepada perkhidmatan bot penambang untuk ke bandar sejak zaman sekolah.-UTUSAN.









