KUALA NERUS: “Orang lain ada seorang ibu, tetapi saya beruntung diraikan dua ibu.”
Demikian kata Nur Farisha Muhammad Faiz, 22, yang menzahirkan rasa syukur dan terharu apabila diraikan dua insan bergelar ibu sempena Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2025 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.
Nur Farisha, dari Kuantan, Pahang ialah graduan Diploma Teknologi Makanan dan Pengurusan Halal dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan.
Dua ibu yang dimaksudkannya adalah ibu kandungnya, Syarifah Norfadhilah Syed Mohd. Idris, 44, dan ibu tirinya, Nik Noor Syuhada Kamaruddin, 39.
Anak sulung daripada 11 beradik itu berkata, bapanya, Muhammad Faiz Hashim sentiasa mengamalkan nilai kebersamaan dalam keluarga walaupun hidup dalam keluarga berpoligami.
“Papa (panggilan kepada bapanya) menjadikan amalan berkumpul bersama kedua-dua keluarga sebagai satu tradisi sejak dahulu. Kami tidak pernah rasa terpisah malah saya dan adik-beradik sangat rapat walaupun berlainan ibu.
“Saya sangat bersyukur kerana ibu dan Mummy (panggilan untuk ibu tiri) sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi dalam setiap perkara, terutama dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis konvokesyen tersebut baru-baru ini.
Menurut Nur Farisha, saat diraikan oleh kedua-dua ibunya di hari penuh bersejarah itu adalah momen yang sangat bermakna dalam hidupnya.
“Saya lihat ramai diraikan hanya oleh seorang ibu tetapi saya hadir ke konvokesyen ini dengan dua ibu dan seluruh keluarga. Ia satu nikmat yang saya sangat hargai,” katanya.
Sementara itu , Muhammad Faiz berkata, dia mahu Nur Farisha menjadi contoh kepada adik-adik dari kedua-dua keluarga.
Katanya, sebagai ketua keluarga yang berpoligami, hubungan rapat antara kedua keluarga sangat dititikberatkan.-UTUSAN.










