NEW YORK: Singapura, Jepun dan Korea Selatan antara negara Asia yang masih belum mengiktiraf Palestin biarpun sejumlah negara Barat sudah mula ‘membuka mata’ mengenai kemerdekaan negara itu.
Tindakan itu menjadikan ketiga-tiga negara berkenaan ‘setaraf’ dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang sehingga kini menafikan kedaulatan Palestin.
United Kingdom (UK), Kanada, Australia dan Portugal pada Ahad mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap negara Palestin, ketika Israel semakin rakus melancarkan pencerobohan di Gaza dan Tebing Barat.
Kesemua negara berpendirian tindakan itu mampu membuka jalan ke arah perdamaian dan menafikan peranan Hamas dalam masa depan politik di wilayah berkenaan.
“Bagi menghidupkan kembali harapan keamanan bagi rakyat Palestin dan Israel, serta penyelesaian dua negara, United Kingdom secara rasmi mengiktiraf negara Palestin,” kata Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dalam satu kenyataan video.
Beliau menegaskan, penyelesaian dua negara ‘bukan hadiah untuk Hamas’, kerana ia bermaksud kumpulan pejuang itu tiada peranan dalam kerajaan dan tidak boleh mengawal keselamatan.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney pula menegaskan, kerajaan Israel ketika ini sedang berusaha secara sistematik untuk menghalang penubuhan sebuah negara Palestin.
Bagi Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, keputusan itu mencerminkan komitmen terdahulu Canberra terhadap penyelesaian dua negara yang sentiasa menjadi satu-satunya jalan ke arah keamanan dan keselamatan berkekalan bagi rakyat Palestin serta penduduk Israel.
Beliau berkata, Hamas tidak boleh mempunyai sebarang peranan di Palestin.
Pengumuman bersepadu daripada tiga negara itu dibuat sehari sebelum pembukaan sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, yang dijangka menumpukan kepada pengiktirafan negara Palestin dan usaha penyelesaian dua negara.
Portugal turut mengiktiraf kenegaraan Palestin dan menyokong penyelesaian dua negara sebagai jalan keamanan yang adil dan berkekalan.
“Mengiktiraf negara Palestin adalah satu pemenuhan dasar asas, konsisten dan dipersetujui secara meluas, yang memupuk kehidupan bersama serta hubungan aman antara Israel dan Palestin,” kata Menteri Luar Portugal, Paulo Rangel.
TINDAK BALAS ISRAEL
Respon Israel terhadap pengiktirafan itu akan diumumkan selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pulang dari Amerika Syarikat (AS) minggu depan.
“Saya ada mesej jelas kepada para pemimpin yang mengiktiraf Palestin selepas pembunuhan pada 7 Oktober, anda sebenarnya memberi ganjaran besar kepada keganasan,” katanya.
Netanyahu turut berbangga di bawah kepemimpinannya, Israel kini menggandakan penempatan haram Yahudi di Yudea dan Samaria.
Julai lalu, Parlimen Israel menyokong usul tidak mengikat dengan undian 71-13, untuk melaksanakan penjajahan ke atas Tebing Barat, langkah yang disokong kuat oleh dua parti sayap kanan ekstrem dalam gabungan pemerintah.
Netanyahu dipercayai mempertimbangkan menjajah sebahagian Tebing Barat sebagai tindak balas kepada langkah pengiktirafan Palestin.
TIGA PER EMPAT SUDAH MENGIKTIRAF
Sehingga kini, tiga per empat atau 144 daripada 193 anggota PBB sudah mengiktiraf kenegaraan Palestin, menurut AFP.
Kiraan itu merangkumi Britain dan Kanada, negara Kumpulan Tujuh (G7) pertama yang berbuat demikian, serta Australia.
Manakala, beberapa negara lain termasuk Perancis, Belgium, Luxembourg dan Malta juga dijangka mengumumkan pengiktirafan semasa sidang kemuncak mengenai masa depan penyelesaian dua negara.
Russia, bersama negara Arab, hampir semua negara Afrika dan Amerika Latin, serta kebanyakan negara Asia termasuk India dan China, sudah pun berada dalam senarai itu.
Algeria menjadi negara pertama yang secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada 15 November 1988.
Serangan ketenteraan Israel di Gaza, mendorong 12 lagi negara mengiktiraf Palestin.
Sekurang-kurangnya 46 negara, termasuk Israel, AS dan sekutu mereka menolak sepenuhnya idea penubuhan negara Palestin
Begitu juga dengan Cameroon, Panama dan kebanyakan negara di Oceania.
Eropah pula menjadi benua yang paling berpecah dalam isu ini, dengan kedudukan hampir separuh menyokong dan separuh menolak.
Negara-negara Eropah Barat dan Utara sebelum ini bersatu dalam pendirian tidak mengiktiraf, kecuali Sweden yang memberikan pengiktirafan pada 2014.
Namun, perang di Gaza mengubah keadaan apabila Norway, Sepanyol, Ireland dan Slovenia mengiktiraf negara Palestin pada 2024.










