KUALA LUMPUR: Kerjasama pertahanan strategik Malaysia dan Jepun diperkukuh penerimaan 14 pesawat udara tanpa pemandu (UAV) dari negara matahari terbit itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penerimaan tersebut mampu menyokong kestabilan serantau dalam aspek pemantauan maritim, kawalan sempadan dan operasi keselamatan.
“UAV drone ini telah direncana untuk diberikan kepada ATM melalui nisiatif bersama kerajaan Jepun dengan Malaysia.
“Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 1 Disember 2023 telah bersetuju agar Malaysia menerima bantuan daripada Jepun dalam bentuk geran bagi pembelian peralatan yang tiada kaitan dengan persenjataan bernilai 400 juta Yen atau bersamaan RM12.63 juta di bawah program Bantuan Keselamatan Rasmi.
“Ketetapan ini membawa kepada termeterai perjanjian pertukaran nota diplomatik di antara Malaysia dan Japan International Cooperation System (JICS), ” katanya dalam majlis sesi penyerahan di Auditorium Binary, Kompleks Haigate ATM di sini hari ini.
Selain UAV, Malaysia turut menerima tujuh buah bot penyelamat untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dijangka akan diserahkan pada 1 Oktober ini. –UTUSAN










