TOKYO: Jumlah warga Jepun yang berusia 100 tahun ke atas sekali lagi mencatatkan rekod baharu apabila data terkini Kementerian Kesihatan Jepun menunjukkan seramai 99,763 orang mencapai usia seabad pada September 2025 dengan 88 peratus daripadanya wanita.
Menteri Kesihatan Jepun, Takamaro Fukoka, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada 87,784 wanita dan 11,979 lelaki yang menjejak usia istimewa tersebut.
“Kami berterima kasih atas sumbangan mereka terhadap pembangunan masyarakat selama bertahun-tahun,” katanya.
Jepun sememangnya dikenali sebagai negara dengan jangka hayat paling panjang di dunia dan sering melahirkan individu tertua di peringkat global, walaupun ada kajian yang masih memperdebatkan ketepatan data warga berusia seabad di seluruh dunia.
Buat masa ini, individu tertua di Jepun ialah Shigeko Kagawa, seorang wanita berusia 114 tahun dari Yamatokoriyama, Nara. Manakala lelaki tertua ialah Kiyotaka Mizuno, 111 tahun, dari Iwata.
Angka tersebut diumumkan menjelang sambutan Hari Warga Emas Nasional pada 15 September, ketika mereka yang mencapai usia 100 tahun diraikan dengan ucapan tahniah serta menerima piala perak daripada perdana menteri. Tahun ini sahaja, seramai 52,310 orang layak menerima penghargaan tersebut.
Fenomena umur panjang ini sebenarnya masih baharu dalam sejarah Jepun. Pada tahun 1963, ketika kerajaan mula merekodkan jumlah warga berusia 100 tahun, hanya terdapat 153 orang. Angka itu melonjak kepada 1,000 orang pada 1981, menembusi 10,000 orang pada 1998, dan kini hampir 100,000 orang.
Walaupun begitu, pencapaian ini hadir bersama cabaran lain apabila Jepun berdepan kadar kelahiran yang semakin menurun dan populasi menua yang pesat.
Menurut para pakar, rahsia jangka hayat panjang masyarakat Jepun berkait rapat dengan pola pemakanan serta gaya hidup mereka. Kadar obesiti di Jepun sangat rendah kerana rakyatnya lebih banyak mengambil ikan dan sayur-sayuran, serta kurang memakan daging merah.
Corak pemakanan ini mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser payudara dan kanser prostat. Wanita Jepun khususnya mencatat kadar obesiti paling rendah, yang menjadi salah satu faktor mereka mampu hidup lebih lama berbanding lelaki.
Selain itu, masyarakat Jepun kekal aktif secara fizikal walaupun di usia lanjut. Warga emas masih terbiasa berjalan kaki dan menggunakan pengangkutan awam, manakala tradisi senaman pagi Radio Taiso, yang mula disiarkan sejak 1928, terus diamalkan oleh pelbagai komuniti.
Kempen kesihatan awam juga berkesan, dengan kerajaan berjaya meyakinkan rakyat untuk mengurangkan pengambilan garam iaitu bertentangan dengan trend global yang menunjukkan peningkatan.
Dengan kombinasi pemakanan sihat, gaya hidup aktif dan sokongan dasar kesihatan awam yang konsisten, tidak hairanlah Jepun terus melahirkan ramai warga emas yang berumur panjang, terutamanya dalam kalangan wanita. -AGENSI










