BATU PAHAT: Seramai 14,016 orang pelajar kurang berkemampuan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima bantuan melalui Dana UTHM Prihatin berjumlah lebih RM2 juta.
Jumlah pelajar itu meningkat berbanding tahun lalu iaitu seramai 11,899 pelajar golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Bantuan diberikan adalah menerusi bantuan tunai, zakat dan dermasiswa TVET B40 termasuk pemberian komputer riba selain bantuan makanan program Ziarah Kasih, Food Bank Siswa, Sabil Al-Hikmah dan makanan percuma.
Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd. Ali berkata, pihaknya turut menyediakan ‘dana ihsan’ dan bantuan zakat melibatkan pembiayaan seperti sara hidup, wang saku, yuran pengajian dan bantuan bencana.
Selain itu, turut diberikan pinjaman tanpa faedah kepada pelajar yang tidak berkemampuan bagi meringankan kos yuran pengajian dan sara hidup.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memperluas dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan kebajikan pelajar terutama yang kurang berkemampuan.
“Tanggungjawab universiti adalah menyediakan sokongan holistik agar setiap mahasiswa dapat belajar dengan tenang dan fokus. Pihak kami akan memastikan tiada pelajar yang tercicir hanya kerana cabaran kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, UTHM turut merancang untuk memantau dan menambah baik program kebajikan tersebut secara berkala agar lebih relevan dan menjangkau lebih ramai penerima.
Beliau berterima kasih kepada penaja utama antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Jabatan Perkhidmatan Awam, My Brighter Future, Yayasan Tenaga Nasional, Dermasiswa TVET B40 Kementerian Pendidikan Tinggi, Program SULUNG serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang lain atas keprihatinan menjadi penyumbang dalam membantu pelajar berkeperluan meneruskan pengajian.-UTUSAN.










