MANILA: Filipina dan Taiwan mengarahkan pemindahan penduduk pada Ahad menjelang kemungkinan banjir dan tanah runtuh ketika Taufan Super Ragasa semakin menghampiri, dengan kekuatannya meningkat sebelum dijangka melanda selatan China.
Agensi kaji cuaca Filipina berkata, ribut berbahaya itu menguat dengan ketara dan dijangka mendarat di wilayah kurang berpenduduk seperti kepulauan Batanes atau Babuyan menjelang petang Selasa.
“Pada pukul 11 pagi (waktu tempatan), kelajuan angin maksimum yang berterusan di pusat ribut mencecah 185 kilometer sejam (km/j) dengan tiupan kencang hingga 230 km/j ketika ia bergerak ke arah barat menuju kepulauan tersebut.
“Pegawai tempatan tidak boleh membuang masa dan perlu segera memindahkan keluarga keluar dari zon bahaya,” kata Setiausaha Dalam Negeri, Jonvic Remulla dalam satu kenyataan.
Pakar cuaca Filipina, John Grender Almario dalam sidang media memaklumkan, banjir besar dan tanah runtuh dijangka berlaku di kawasan utara pulau utama Luzon.
“Kami menjangkakan kesan taufan super ini akan mula dirasai bermula malam ini. Kesan paling kuat dijangka pada pukul 8 pagi esok,” katanya.
Di Taiwan, pihak berkuasa berkata, hampir 300 orang akan dipindahkan dari Daerah Hualien di timur, dengan angka itu mungkin berubah bergantung kepada pergerakan taufan tersebut.
“Kami menjangkakan amaran taufan darat akan dikeluarkan malam ini dan pada pukul 6 pagi esok, taufan itu akan menghampiri pesisir Taiwan,” kata Pentadbiran Cuaca Pusat.
Pada Ahad, Balai Cerap Hong Kong berkata, cuaca buruk di pusat kewangan itu akan berlarutan pada Selasa dan Rabu, dengan angin kencang serta paras laut akibat lonjakan ribut dijangka menyamai Taufan Mangkhut yang melanda pada 2018.-AFP










