AMMAN: Jordan pada Ahad mengumumkan pembukaan semula sebahagian lintasan sempadannya dengan Tebing Barat yang diduduki Israel, tiga hari selepas ia ditutup susulan serangan yang meragut nyawa dua tentera rejim itu.
Lintasan Allenby merupakan satu-satunya pintu keluar bagi rakyat Palestin di Tebing Barat untuk ke luar negara tanpa perlu melalui wilayah Israel, yang menduduki kawasan itu sejak 1967.
“Lintasan itu dibuka semula pada Ahad bagi pergerakan penumpang sahaja, manakala pergerakan lori kargo masih digantung sehingga diberitahu kelak,” menurut kenyataan rasmi kerajaan.
Saluran penyiaran milik kerajaan, Al-Mamlak melaporkan, kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah sejak awal pagi.
Pada Khamis lalu, seorang pemandu lori warga Jordan yang membawa bantuan ke Gaza melepaskan tembakan di lintasan berkenaan, mengorbankan seorang askar Israel dan seorang pegawai simpanan pentadbiran awam sebelum dia ditembak mati.
Susulan insiden itu, tentera Israel meminta Jordan menggantung penghantaran bantuan melalui terminal tersebut.
Jordan berkata, pihaknya telah melancarkan siasatan dan mengenal pasti penyerang sebagai Abdel Mutaleb al-Qaissi, berusia 57 tahun.
Lelaki itu dilaporkan merupakan orang awam yang bekerja sejak tiga bulan lalu sebagai pemandu penghantar bantuan ke Gaza, wilayah terkepung yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang menghadapi krisis kemanusiaan selepas hampir dua tahun dilanda perang yang memusnahkan.
Amman mengecam serangan tersebut, menyifatkannya sebagai ancaman kepada kepentingan kerajaan dan keupayaannya menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.-AFP










