PUTRAJAYA: Caj maksimum bagi ujian pengesanan Covid-19 yang diwartakan di bawah Ordinan Darurat perlu dipatuhi semua peringkat fasiliti swasta termasuk makmal, klinik dan hospital.
Menjelaskan kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, harga siling yang ditetapkan itu adalah harga terakhir yang perlu dikenakan caj kepada pengguna terutama bagi ujian Tindak balas Berantai Polimerase (RT-PCR) sebanyak RM150 dan Ujian Kit Ujian Pantas antigen (RTK Ag) RM60 di semenanjung.
Menurut beliau, mana-mana fasiliti swasta yang mahu mengenakan caj-caj lain bagi penggunaan peralatan perubatan seperti kos alat perlindungan diri (PPE), konsultasi doktor, sanitasi, bayaran elaun staf dan sebagainya perlu diperincikan dalam bil yang dikenakan kepada pengguna.
Beliau berkata, harga kos-kos lain itu tidak boleh disekalikan dalam harga ujian itu, sebaliknya perlu diasingkan supaya pengguna maklum harga sebenar tanpa ada caj tersembunyi.
“Harga siling atau caj yang diwartakan kerajaan itu adalah kos ujian pengesanan Covid-19 semata-mata. Ia sebagai panduan kepada masyarakat yang mahu melakukan ujian itu yang ramai buat di mana-mana makmal, klinik atau hospital swasta.
“Kita tidak menyatakan keberangkalian pihak Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) untuk memasukkan item-item lain seperti konsultasi, sanitasi dan sebagainya, itu tidak termasuk. Jadi terpulang kepada mereka untuk mengenakan caj kos itu dengan syarat perlu perincikan bil itu kepada pengguna,” kata beliau di sini semalam.
Kerajaan mewartakan harga maksimum bagi ujian pengesanan Covid-19 di bawah Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 17 Mei lalu yang ditandatangani Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Di bawah pewartaan itu, mana-mana fasiliti kesihatan termasuk swasta tidak boleh mengenakan caj ujian melebihi harga ditetapkan untuk empat jenis ujian pengesanan bagi tujuan menangani jangkitan wabak penyakit berjangkit Covid-19.
Arahan tersebut terus berkuat kuasa sehingga tamat darurat pada 1 Ogos ini atau apa-apa tempoh lain sebagaimana yang dimasyhurkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Caj maksimum ujian yang ditetapkan itu ialah ujian Tindak balas BErantai Polimerase (RT-PCR) RM150 bagi sememanjung, RM200 bagi Sabah / Sarawak/ Labuan; ujian Rapid Molecular RM270 (semenanjung), RM350 ( Sabah / Sarawak/ Labuan); Ujian Kit Ujian Pantas antigen (RTK Ag) RM60 (semenanjung) dan RM80 ( Sabah / Sarawak/ Labuan) serta Ujian Kit Ujian Pantas antibodi (RTK Ab) RM50 (semenanjung) dan RM70 ( Sabah / Sarawak/ Labuan).
Bagaimanapun, terdapat fasiliti swasta mempertikaikan pewartaaan caj ujian pengesanan itu yang menyatakan caj yang diselia dalam Ordinan Darurat adalah hanya di peringkat makmal dan bukannya peringkat klinik atau end user (pengguna).
Pihak tersebut memberitahu, caj RT-PCR yang dikenakan oleh makmal swasta kepada klinik swasta bermula daripada RM150 bergantung kepada kuantiti, maka RM150 adalah harga kos bagi sesetengah atau kebanyakan klinik swasta yang belum termasuk kos-kos perubatan lain.
Dalam pada itu, Dr. Adham berkata, mana-mana individu yang mahu membuat aduan berhubung kos tinggi yang dikenakan fasiliti swasta dalam melaksanakan ujian pengesanan ujian itu, boleh berbuat demikian ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di setiap negeri.
Kata beliau, orang ramai boleh mengajukan dakwaan di CPRC yang mempunyai satu jawatankuasa khas di bawah Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
Jika ada pihak tidak patuh kepada arahan tersebut, maka tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 9, Ordinan Darurat dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN











