SEREMBAN: Sebahagian premis perniagaan MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diletakkan di Taman Perdana Senawang di sini terbiar malah dalam keadaan kotor dipenuhi najis burung.
Seorang penduduk, Zaini Saparin, 54, berkata, premis tersebut telah lama berada di kawasan tersebut namun tidak pernah digunakan oleh peniaga sejak ia ditempatkan.
“Bulan lepas ada nampak pihak berkuasa tempatan datang buat pembaikan dan pembersihan, tetapi sehingga sekarang tidak tahu bila akan digunakan dan diserahkan kepada peniaga.
“Kalau digunakan lebih baik daripada dibiarkan begitu sahaja. Lebih baik diberi peluang kepada peniaga tempatan daripada terus terbiar sehingga dipenuhi najis burung. Ini hanya mencacatkan sahaja pemandangan,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi penduduk, Ainnur Alyaa Izzati Zaini, 26, berkata, dia turut berharap pihak berkuasa tempatan dapat membuat pembersihan secara berkala di kawasan tersebut.
“Di sekitar MyKiosk tersebut pada waktu petang akan ada banyak burung. Jika tidak dibersihkan memang hanya akan dipenuhi dengan najis burung,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga makanan dan minuman, A. Norlita Abu Bakar, 48, berkata, MyKiosk berkenaan telah ditempatkan sejak beberapa bulan lalu, namun masih belum diserahkan kepada peniaga.
“Baru tiga dan empat bulan MyKiosk ini ada di sini. Pihak PBT memberitahu kami akan dapat gunakannya, tetapi sampai sekarang masih belum diserahkan. Jadi kami, peniaga yang sedia ada masih menunggu sahaja.
“Ramai juga pelanggan yang tanya bila kami hendak mula berniaga di situ, tetapi kami tidak dapat beri jawapan. Setakat ini kalau terlalu kotor, barulah pihak PBT datang bersihkan,” katanya.
Dalam pada itu, isu tersebut turut tular di platform media sosial Threads apabila seorang penggunanya berkongsi gambar MyKiosk di situ yang dalam keadaan kotor dipenuhi najis burung.-UTUSAN.










