MANILA: Ribuan rakyat Filipina berhimpun di ibu negara hari ini bagi membantah skandal besar membabitkan projek kawalan banjir palsu yang didakwa menelan berbilion peso wang rakyat.
Gelombang kemarahan terhadap apa yang digelar sebagai projek “infrastruktur hantu” semakin memuncak sejak Presiden Ferdinand Marcos Jr. mendedahkan isu tersebut dalam ucapan tahunan beliau pada Julai lalu.
Dalam kenyataan pada Isnin, Marcos menyatakan beliau “tidak menyalahkan rakyat” kerana memilih untuk turun ke jalan, namun menggesa semua protes dijalankan secara aman.
Angkatan tentera negara itu juga diarahkan bersiap siaga pada tahap “amaran merah” sebagai langkah berjaga-jaga.
“Saya sendiri pernah meredah banjir. Jika ada bajet untuk projek hantu, kenapa bajet untuk sektor kesihatan tiada?” kata Aly Villahermosa, pelajar kejururawatan berusia 23 tahun dari Metro Manila kepada AFP.
Pengerusi gabungan berhaluan kiri Bagong Alyansang Makabayan, Teddy Casino, 56, pula menuntut bukan sekadar pemulangan dana, tetapi juga hukuman penjara kepada pihak yang terlibat.
“Rasuah memerlukan rakyat turun ke jalan untuk meluahkan kemarahan, demi mendesak kerajaan melakukan tugas mereka,” katanya.
Protes lebih besar dijangka berlangsung kemudian di sepanjang jalan EDSA iaitu lokasi bersejarah yang menyaksikan kebangkitan rakyat menumbangkan rejim diktator ayah Marcos pada 1986 melalui Gerakan Kuasa Rakyat.
Skandal projek banjir ini telah menggegarkan arena politik Filipina dengan rombakan kepimpinan di kedua-dua dewan Kongres.
Speaker Dewan Rakyat, Martin Romualdez iaitu sepupu Marcos turut meletakkan jawatan awal minggu ini susulan siasatan yang dilancarkan.
Awal bulan ini, pemilik sebuah syarikat pembinaan mendakwa hampir 30 ahli parlimen dan pegawai Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya (DPWH) menerima bayaran tunai sebagai sogokan berkaitan projek palsu tersebut.
Kementerian Kewangan menganggarkan ekonomi negara mengalami kerugian sehingga 118.5 bilion peso (sekitar AS$2 bilion) antara 2023 hingga 2025 akibat rasuah dalam projek kawalan banjir. Namun, menurut Greenpeace, jumlah kerugian sebenar mungkin mencecah AS$18 bilion.










