KOTA BHARU: Sebanyak 153 daripada 212 jeti pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor hingga Rantau Panjang, dekat sini dirobohkan bermula pertengahan bulan depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kerja-kerja itu membabitkan jeti pengkalan haram yang dikenal pasti didirikan di atas tanah kerajaan manakala jeti haram di kawasan tanah persendirian diteliti oleh pihak berkuasa tempatan kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.
“Pada asasnya, notis tidak diperlukan kerana pembinaan jeti ini dilakukan secara haram. Namun, atas dasar budi bicara, kita tetap mengeluarkan notis peringatan terlebih dahulu. Operasi ini diketuai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi keselamatan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, setakat ini, tiada bantahan atau aduan diterima berhubung kerja-kerja meroboh jeti pengkalan haram berkenaan. – UTUSAN











