WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan sedang memohon kelulusan Kongres bagi menjual peralatan sokongan dan senjata bernilai AS$6.4 bilion (RM26.9 bilion) kepada Israel.
Kelengkapan ketenteraan itu termasuk helikopter penyerang dan kenderaan pengangkut tentera, menurut sumber semalam.
Pakej yang dirancang itu termasuk perjanjian bernilai AS$3.8 billion (RM15.9 billion) untuk 30 helikopter penyerang AH-64 Apache, serta AS$1.9 bilion (RM7.9 billion) untuk 3,250 kenderaan serangan infantri bagi kegunaan tentera Israel.
Selain itu, sokongan alat ganti bernilai AS$750 juta (RM3.1 billion) bagi kenderaan berperisai dan bekalan kuasa turut dalam proses penjualan, menurut sumber.
Pada hari sama, tentera Israel memaklumkan memperluas operasi di Gaza City dengan mengebom infrastruktur Hamas, sementara penduduk Palestin yang dipindahkan berkata mereka tiada jalan untuk melarikan diri.
Cadangan penjualan itu muncul hanya beberapa hari sebelum pemimpin dunia berkumpul di New York bagi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu depan, di mana Majlis Keselamatan PBB juga dijadual mengadakan mesyuarat khas mengenai Gaza.
Sokongan kuat presiden Republikan itu terhadap tentera Israel berbeza dengan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan Demokrat mengenai serangan Israel ke atas Gaza.
Khamis lalu, sekumpulan senator AS memperkenalkan resolusi pertama di Senat yang menggesa pengiktirafan sebuah negara Palestin, manakala lebih separuh ahli Demokrat dalam Senat baru-baru ini mengundi menentang penjualan senjata tambahan.
Akhbar The Wall Street Journal pada Jumaat turut melaporkan mengenai potensi penjualan helikopter dan kenderaan itu.
Rumah Putih bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen segera. -AGENSI










