PORT DICKSON: Polis menyerahkan kes membabitkan seorang peniaga kedai makan di sini yang didakwa dikenakan tindakan kaveat (notis halangan) kepada agensi berkaitan memandangkan ia merupakan kes saman sivil.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 17 September lalu di Balai Polis Telok Kemang.
“Kes ini membabitkan saman sivil dan kami serahkan kepada agensi atau pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan seorang peniaga kedai makanan gusar apabila niat membantu rakannya sebagai penjamin bagi mendapatkan pinjaman daripada sebuah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen menyebabkan sebidang tanahnya disekat oleh pihak berkuasa.
Mangsa, Rusiah Ahmad, 53, berkata, sebidang tanah seluas hampir seekar yang didudukinya di Telok Kemang, Port Dickson berdepan sekatan kaveat.
Mangsa hanya menyedari tanah itu disekat apabila anak-anaknya memohon skim pembinaan rumah daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS).
selepas mengetahui situasi tersebut, dia merujuk ke Pejabat Tanah dan Galian Port Dickson pada 25 Jun lalu untuk menyemak dan disahkan oleh pihak berkuasa itu terdapat status kaveat dikenakan ke atas hartanah miliknya.
Malah mangsa juga terkejut apabila menerima surat saman atas alasan gagal melunaskan hutang berjumlah RM400,000 sedangkan pinjaman asal hanya RM200,000.
Sementara itu, peguam, Muhammad Izhar Mohd. Salehuddin memberitahu, beliau bersama Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) akan membantu Rusiah bagi memfailkan pertikaian terhadap status kaveat berkenaan di Mahkamah Tinggi Seremban. – UTUSAN










