PETALING JAYA: Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berundur secara terhormat susulan pergolakan dalaman yang semakin meruncing dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, perbalahan secara terbuka antara parti komponen PN jelas menunjukkan gabungan pembangkang itu memerlukan kepimpinan baharu.
Katanya, kelemahan blok pembangkang ketika ini hanya akan menjejaskan kelangsungan sistem demokrasi negara.
“Sehingga kini, Pas masih keberatan menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri, malah pemimpin mereka, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara sinis menyamakan pengumuman Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri seperti ‘ghairah seorang diri’.
“Jika selepas ini Muhyiddin diangkat calon sekalipun, rakyat faham ia hanya kerana PAS terdesak, namun PAS sendiri tidak diyakini untuk mengetuai PN.
“Ia seperti ditegaskan Timbalan Presiden PN merangkap Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan, parti itu (Pas) belum bersedia memerintah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Krisis dalaman PN mula mendapat perhatian umum susulan beberapa perkembangan kebelakangan ini yang mencetuskan persoalan mengenai kestabilan dan hala tuju gabungan berkenaan.
Perubahan struktur kepimpinan, perbezaan pendirian antara parti komponen selain kegagalan PN menamakan calon Perdana Menteri secara konsisten, walaupun sudah hampir setahun menjadi blok pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara isu yang mencuri perhatian.
Ketiadaan kesepakatan mengenai calon Perdana Menteri menguatkan lagi dakwaan PN sedang berdepan krisis keyakinan, bukan saja dalam kalangan rakyat, malah dalam kalangan ahlinya sendiri.
Mengulas lanjut, Ammar berkata, hakikatnya, keadaan itu jelas memperlihatkan kegawatan krisis kepimpinan dalam PN.
“Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah calon Perdana Menteri terbaik bagi PN ketika ini, tatkala blok pembangkang terutama Pas ketandusan pemimpin berkaliber.
“Barangkali, Ahli Parlimen Pas, Fadhli Shaari juga boleh dipertimbangkan sebagai calon Perdana Menteri memandangkan beliau meraih undi tertinggi pemilihan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN










