PETALING JAYA: Tiada laluan yang mudah buat beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah selepas dipaksa bekerja keras sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee pada suku akhir Kejohanan Badminton China Masters di Shenzhen, China hari ini.
Pearly-Thinaah yang berdepan jadual padat sejak Kejohanan Dunia di Paris, bulan lalu, tewas tipis di tangan beregu No. 7 dunia itu 21-23, 21-19, 20-22 dalam masa 1 jam 28 minit di Shenzhen Arena.
Kekalahan beregu No. 1 Malaysia tersebut menyaksikan rekod pertemuan mereka dengan Ha Na-So Hee kini terikat menjadi 3-3.
Walaupun terpaksa menerima kekalahan itu, namun, pujian harus diberi kepada Pearly-Thinaah yang berjuang berhabis-habis sekalipun cukup jelas di wajah mereka berdua yang keletihan.
Keadaan tersebut dapat difahami kerana Pearly-Thinaah tidak mendapat rehat yang cukup sejak beraksi pada final Kejohanan Dunia dan sebaliknya mereka memilih beraksi pada Terbuka Hong Kong, minggu lalu bagi mempertahankan gelaran. – UTUSAN










