Mampukah PN sampai pru16?

Mampukah PN sampai PRU16?

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu calon Perdana Menteri, ung­kit-mengungkit bantuan per­be­lanjaan pilihan raya dan siapa layak mengetuai Perikatan Nasional (PN) menjadi sema­kin panas apabila pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula berbalas kenyataan.

Ia dilihat menjadi permulaan kepada bibit-bibit pergolakan da­lam gabungan itu.

Muktamar Pas di Kedah baru-baru ini dilihat menjadi platform kepada parti Islam itu melepaskan segala yang terpendam apabila perwakilan sebulat suara meluluskan usul untuk Pas mengetuai PN, selain calon Perdana Menteri (PM) termasuk Ketua Menteri Sabah daripada parti itu.

Ketika calon PM dari­pada kedua-dua parti diperkatakan, Men­teri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan PN, mendakwa parti itu mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk pilihan raya umum sebelum ini termasuk membantu calon PN.

Namun bekas Ketua Se­tiausa­ha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad menjawab, PN yang menanggung sepenuhnya perbelanjaan pilihan raya termasuk sumbangan dana kepada Pas.

Sanusi dalam reaksi terhadap kenyataan Marzuki itu meminta beliau memperjelaskan perkara itu dengan lebih teliti dan kepada siapa diberikan dana tersebut.

Isu-isu tersebut dilihat berpotensi memberi kesan kepada masa depan PN terutama dari­pada aspek kepercayaan dan keikhlasan hubungan antara dua parti itu yang tidak sampai lima tahun bekerjasama.

Namun Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menegaskan, parti itu komited untuk te­rus bersama rakan-rakan dalam PN untuk membela nasib rakyat dan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagi pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof, Pas dan Bersatu perlu kembali mencari titik persamaan serta mengelak daripada terus berbalas serangan yang dikhuatiri boleh memecah-belahkan gabungan tersebut.

Kata beliau, Bersatu tetap memerlukan Pas dan sedar parti itu tidak akan bertahan jika PN terbubar.

Katanya, Bersatu ketika ini, dilihat berada pada titik paling lemah dan survival mereka hanya bersandar kepada kekuatan Pas dari semua aspek khusus­nya jentera.

“Bersatu hampir pasti ‘bung­kus’ tanpa Pas dan mereka perlu mempertahankan hubungan dalam PN termasuk perlu lebih mengalah dalam soal dominasi jawatan dalam gabungan itu.

“Selain itu, Bersatu juga perlu segera berubah dan menyelesaikan isu kepemimpinan. Perlu diingat, ada juga Ahli Parlimen Bersatu yang menang bertanding atas tiket Pas terutama di Kelantan. Mahu tidak mahu, Bersatu tidak boleh jika tidak bersama Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Muhammad Izmer, Pas dan Bersatu perlu segera memulihkan hubungan memandangkan gabungan tersebut juga mempunyai peluang menang dalam PRU16.

Katanya, pemimpin kedua-dua parti tersebut juga perlu mengelak mengeluarkan ke­nyataan yang bertentangan kerana rakyat sedang memerhati sekali gus boleh menghilangkan keyakinan mereka kepada PN.

“Pemerhatian saya, Pas te­lah banyak memberi kelebihan kepada Bersatu di mana Ketua Pembangkang diberikan kepada Bersatu, Pengerusi PN juga dari Bersatu selain jawatan-jawatan penting lain dalam PN.

“Sebelum ini, Pas tidak pernah tampil ke depan dalam mengetengahkan pemimpin mereka sama ada untuk mengetuai PN atau sebagai calon Perdana Menteri meskipun mempunyai kekuatan.

“Bersatu hampir pasti boleh terkubur jika PN berpecah dan Pas jika bergerak solo, mereka masih mampu untuk menguasai Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis. Pengaruh Pas masih kukuh di negeri-negeri tersebut,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, keputusan Muktamar Tahunan Pas dan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang dibuat oleh setiap parti sewajarnya dihormati oleh semua pihak.

“Perpaduan dalam gabungan ini adalah kekuatan utama bagi memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara, di samping memperkasakan PN sebagai sebuah gabungan politik yang lebih utuh, berprinsip dan berpandangan jauh.

“PN perlu terus mengutamakan isu-isu rakyat yang semakin mencengkam kehidupan seharian mereka antaranya pembelaan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB), isu adik Zara Qairina, kesan penyelarasan subsidi RON95, isu kos sara hidup, serta pelbagai lagi masalah yang rakyat amat mengharapkan PN untuk membela mereka,” katanya dalam kenyataan.

Muktamar Tahunan Pas Ke-71 berakhir Selasa meluluskan usul supaya parti itu memim­pin PN sebelum PRU16, manakala PAT Bersatu sebelum itu memutuskan Muhyiddin Yassin calon Perdana Menteri Ke-11.

Dalam PRU15, PN memenangi 74 kerusi Parlimen dengan 43 daripadanya dikuasai oleh Pas.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023 pula, Pas terus cemerlang memenangi 105 dari­pada 126 kerusi ditandingi iaitu mencapai tahap kemena­ngan sekitar 83 peratus, manakala Bersatu hanya menang 40 ke­rusi atau 49.4 peratus dan kalah 41 kerusi. Gerakan salah satu lagi kompenan PN menang satu kerusi dengan merekodkan kekalahan di 36 kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN