JAKARTA: Ribuan guru sekolah di Kabupaten Kutai Barat melancarkan mogok selama tiga hari sejak Rabu lalu, sebagai tanda protes terhadap pemotongan elaun Tunjangan Penghasilan Pegawai (TPP) yang dianggap tidak adil.
Wakil Forum Komunikasi Guru Kutai Barat, Martin berkata, mereka menuntut agar kadar TPP guru diselaraskan dengan elaun pegawai struktural bagi mengelakkan jurang ketara.
Katanya, prinsip agihan TPP seharusnya berlandaskan keadilan serta bertujuan untuk kesejahteraan bersama pegawai di Kutai Barat.
“Kami menuntut keadilan dan kami juga menolak sekeras-kerasnya sebarang pemotongan TPP pada masa akan datang,” tegasnya pada Khamis.
Menurut Martin, sekitar 5,000 guru dari 151 sekolah terlibat dalam aksi mogok tersebut.
Beliau mengakui tindakan ini memberi kesan kepada ribuan pelajar, namun menegaskan mogok tidak dapat dielakkan kerana guru merasa kebajikan mereka diabaikan.
“Para pegawai juga mempunyai anak yang kami ajar. Mereka sepatutnya memikirkan kebajikan guru, bukan hanya kepentingan sendiri,” katanya.
Martin menjelaskan mereka sudah berulang kali berusaha mendapatkan penjelasan mengenai TPP melalui pelbagai saluran aman, termasuk pertemuan dengan anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kutai Barat serta pertemuan terus dengan ketua daerah.
Namun, tuntutan tersebut masih tidak mendapat maklum balas jelas.
Beliau turut mendedahkan pegawai struktural menerima elaun sehingga Rp 5.7 juta (RM1,445) selepas potongan insurans kesihatan, manakala guru hanya memperoleh sekitar Rp 2.3 juta (RM583), meskipun pangkat dan gred adalah setara.
Perbezaan ini, katanya, menjadi punca utama ketidakpuasan hati.
“Kami hanya menuntut keadilan. Hak kami sebagai penjawat awam sepatutnya sama rata, kerana perkara ini juga dijamin oleh undang-undang.
“Malangnya, apabila kami suarakan tuntutan, pemerintah beralasan guru tidak berhak menerima TPP daerah. Ini mengelirukan, sedangkan kami juga pegawai daerah,” jelasnya.
Seorang guru dari SMP Negeri 1 Barong Tongkok, Maria, berkata mogok ini sememangnya mengganggu proses pembelajaran pelajar. Namun, katanya, mereka tidak mempunyai pilihan kerana kebajikan guru tidak dipedulikan oleh pemerintah daerah.
“Anak-anak bakal menghadapi ujian pertengahan semester, tetapi guru tidak mampu pun menyediakan pembelajaran dalam talian. Kami berharap pemerintah segera menegakkan keadilan agar murid tidak terus menjadi mangsa,” katanya.- AGENSI










