Remaja didakwa buli Zara Qairina pernah ditegur buat tuduhan melulu

Remaja didakwa buli Zara Qairina pernah ditegur buat tuduhan melulu

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Salah seorang remaja yang didakwa membuli pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir pernah ditegur pihak sekolah agar tidak membuat tuduhan melulu tanpa sebarang bukti.

Ketua warden, Azhari Abd. Sagap memberitahu, teguran tersebut diberikan kepada pelajar yang dinamakan sebagai Pelajar A itu pada 4 Julai lalu.

Tambahnya, bermula Mac lalu, iaitu kira-kira sebulan selepas sesi persekolahan baru bermula, ibu kepada pelajar A itu sering membuat aduan kepada mengenai anaknya yang sering kehilangan dompet, kad telefon awam diambil dan digunakan oleh senior asrama, almarinya diumpil serta barang peribadi digunakan tanpa kebenaran.

Dalam beberapa aduan yang dibuat oleh ibu pelajar A, nama Zara Qairina dan seorang penghuni dorm yang sama dengan remaja terbabit turut disebut-sebut.

“Dakwaan A ini tidak ada bukti. Saya sudah siasat tetapi tiada bukti. Saya juga sudah tanya pada pelajar yang dikatakan mengumpil almari pelajar A tetapi pelajar yang dituduh itu menafikannya,” kata belliau.

Mengenai kehilangan wang sebanyak RM300, Azhari membertahu, pelajar A seolah-olah tidak kisah sedangkan jumlah kecurian adalah besar. Pelajar terbabit juga tidak memberikan sebarang reaksi apabila ditanya mengenai permohonan ibunya yang ingin menukarnya ke dorm berlainan.

Zara Qairina dan pelajar A ditempatkan di dorm A3-5 dan ibu pelajar A membuat permohonan agar anaknya itu dipindahkan ke dorm A3-6.

Ditanya oleh peguam Joan Goh yang mewakili pelajar A berkenaan, kemungkinan anak guamnya tidak memberikan sebarang respon kerana dia sering dipulau ekoran tindakan ibunya yang selalu membuat aduan, Azhari yang turut dipanggil sebagai Ustaz Azhari menafikannya.

“Saya tak nampak dia dipulau di kelas. Pelajar A juga tidak menunjukkan bahawa dia stress. Sejak dari Mac sehingga Julai lalu, Pelajar A tidak pernah membuat aduan terus kepada saya atau warden mengenai apa-apa masalah sebaliknya aduan datang daripada ibu Pelajar A,” kata saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina pada prosiding yang memasuki hari kesembilan, semalam.

Selain itu, Azhari turut memaklumkan kira-kira dua hari sebelum Zara Qairina ditemukan terlentang dan tidak sedarkan diri di asrama Blok A, Rabiatul Adawiyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, remaja terbabit juga telah dituduh mencuri wang rakan sekelas.

“Pada 14 Julai lalu, ada aduan kepada guru lain dan Zara telah dituduh. Guru itu, Cikgu Sham terus buat spotcheck tetapi tidak menemui apa-apa. Esoknya ibu pelajar A menghantar mesej melalui Telegram memberitahu dompet A yang mengandungi wang, kad pengenalan dan kad bank telah hilang.

“Hasil siasatan mendapati kad pengenalan A ada bersama guru hoki kerana pelajar terbabit akan mewakili sekolah dalam satu pertandingan hoki,” kata Azhari.

Terdahulu, guru berkenaan turut memaklumkan beliau ada menerima aduan yang diterima oleh ibu Pelajar A sekitar Mac lalu antara lain menyatakan anaknya telah mengadu wangnya dicuri oleh seorang pelajar lain dan turut mendakwa bahawa Zara Qairina mempunyai kecenderungan seksual songsang.

“Saya berjumpa dengan Pelajar A dan tanya dia apa berlaku. Dia cerita (perkara sama) mengenai Zara dan seorang lagi pelajar (yang didakwa mencuri). Saya telah maklumkan kepada unit disiplin dan satu OPR (one page report) juga telah dibuat. Salinan OPR saya dah serah pada pihak polis.

“Saya rasa inilah isu gangguan seksual yang tular di media sosial. Hasil siasatan (sekolah) mendapati semuanya adalah salah faham. Ada pengakuan bertulis daripada Pelajar A, Zara dan pelajar yang seorang lagi. Ketiga-tiga mereka juga telah diberikan kaunseling,” jar Azhari.

Ketua warden itu akan menyambung keterangannya hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×