DILI: Kerajaan Timor-Leste akhirnya membatalkan rancangan membekalkan kereta mewah percuma kepada ahli Parlimen selepas ribuan penduduk menyertai protes di sekitar jalan raya utama bagi membantah tindakan tersebut.
Pada Selasa, penunjuk perasaan bertindak membakar tayar dan sebuah kenderaan kerajaan sebelum pihak polis melepaskan gas pemedih mata.
Tekanan awam yang semakin memuncak memaksa kerajaan akur menarik balik keputusan itu hanya beberapa jam kemudian namun, protes berterusan sehingga semalam dengan dianggarkan sekitar 2,000 penunjuk perasaan memenuhi jalan-jalan utama ibu kota Dili.
Menurut laporan Kesatuan Antara-Parlimen, gaji tahunan asas ahli Parlimen Timor-Leste pada 2023 ialah AS$36,000 (RM151,046), iaitu lebih 10 kali ganda pendapatan purata rakyat negara itu yang dianggarkan sekitar AS$3,000 (RM12,587).
Pada Selasa, Parlimen sebulat suara membatalkan rancangan pembelian kereta untuk 65 orang ahli, tetapi ribuan rakyat terus turun ke jalanan semalam kerana ragu-ragu dengan keputusan itu.
Lebih 70 peratus penduduk Timor-Leste berusia bawah 35 tahun, menjadikannya antara negara termuda di Asia Tenggara.
Walaupun sering dijadikan contoh demokrasi, negara itu masih berdepan masalah kemiskinan, ketidaksamarataan dan pengangguran tinggi.
Gelombang protes di Timor-Leste berlaku ketika negara-negara jirannya turut berdepan demonstrasi besar-besaran.
Di Nepal, puluhan maut minggu lalu apabila generasi muda turun ke jalan menentang golongan elit politik dan nepotisme sehingga menjatuhkan kerajaan dalam tempoh 48 jam.
Pada Ogos lalu pula, krisis kos sara hidup dan kemarahan terhadap elit politik mencetuskan protes besar di Indonesia selepas seorang penunggang motosikal maut dirempuh kenderaan polis. -AGENSI










