KUCHING: Daerah Marudi kini mula dilanda banjir, dengan kawasan terjejas di Kampung Dato Zain Galau (Padang Kerbau), Marudi.
Susulan itu, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Suarah Marudi bagi menempatkan lapan sekeluarga yang terperangkap akibat banjir berkenaan.
Sekeluarga terbabit ditempatkan di PPS berkenaan setelah diselamatkan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi.
Sejurus dipindahkan, Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau turut meluangkan masa menyantuni mangsa di PPS berkenaan.
Terdahulu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pasukan BBP Marudi bertindak menyelamatkan keluarga terbabit setelah menerima laporan kia-kira pukul 12.16 tengah hari, semalam.
Katanya mereka terdiri daripada dua lelaki dan wanita warga emas berusia 75 dan 70 tahun, dua lelaki dan wanita dewasa berusia 35 dan 30 tahun serta empat kanak-kanak berusia 12,11,7 dan 2 tahun. – UTUSAN










