KUCHING: Sarawak telah melakukan persiapan sepenuhnya bagi menghadapi banjir, susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang kini mula melanda.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata antara persiapan utama termasuk penyediaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta pengaktifan Pangkalan Hadapan bagi menyimpan bekalan makanan kering khususnya untuk kawasan yang jauh dari pusat bandar.
“Semua PPS telah bersedia dari aspek lokasi, kapasiti serta kelengkapan seperti tilam, makanan, air bersih dan kemudahan kesihatan.
“Ini termasuk kemudahan untuk petugas barisan hadapan yang akan memberi perkhidmatan kepada mangsa banjir di PPS,” katanya ketika ditemu-bual, hari ini.
Menurutnya, PPS di seluruh Sarawak mempunyai saiz dan kapasiti berbeza mengikut keperluan setempat, dengan semua pusat itu kini bersedia untuk menerima mangsa sekiranya berlaku pemindahan.
MetMalaysia sebelum ini menyatakan MTL yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan akan memberi kesan awal kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang, yang diramal mengalami hujan lebat berterusan pada fasa November hingga Disember.
Memasuki Disember dan Januari, hujan berterusan dijangka tertumpu di selatan Terengganu, Pahang dan Johor, dengan Sabah dan Sarawak juga berpotensi menerima kesan bergantung kepada pergerakan monsun. – UTUSAN










