YANGON: Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan (UEC) Myanmar mengumumkan pilihan raya umum Disember ini tidak akan dijalankan di puluhan kawasan pilihan raya.
Perkara itu didedahkan dalam notis rasmi yang disiarkan akhbar kerajaan Global New Light of Myanmar.
UEC memaklumkan pilihan raya tidak akan berlangsung di 56 kawasan Dewan Rendah Pyithu Hluttaw, sembilan Dewan Tinggi kawasan Amyotha Hluttaw, serta 56 kawasan Dewan Perundangan Negeri atau Wilayah.
Keputusan itu dibuat kerana sebanyak 65 kawasan pilihan raya didapati tidak kondusif untuk mengadakan pilihan raya bebas dan adil dalam PRU berbilang parti, jelas suruhanjaya tersebut.
Difahamkan, banyak daripada kawasan yang digugurkan itu kini berada di bawah kawalan kumpulan pemberontak.
UEC pada Ogos sebelum ini mengumumkan PRU berbilang parti akan diadakan pada Ahad, 28 Disember tahun ini.
PRU terakhir Myanmar berlangsung pada November 2020 dan dimenangi Parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) yang dipimpin penerima Anugerah Nobel yang kini dipenjara, Aung San Suu Kyi.
Namun, kerajaan sah itu digulingkan tentera melalui rampasan kuasa pada Februari 2021.
Pengumuman mengenai PRU Disember ini dibuat selepas junta tentera pada Julai lalu menubuhkan suruhanjaya untuk menyelia perjalanan pilihan raya,
Ia sekali gus menandakan berakhirnya pemerintahan darurat yang sudah berkuat kuasa lebih empat tahun sejak rampasan kuasa pada 2021. -AGENSI










