SEBUT tentang sukan muay thai, pasti nama Johan Ghazali yang terlintas di fikiran.
Sebenarnya, kemuncak kegemilangan sukan tempur itu sudah bermula seawal 2010 lagi oleh petarung cekal seperti Mohd. Faizal Ramli atau nama gelarannya Faizal Siku Emas.
Anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan ini dikenali kerana keupayaannya menundukkan lawan dengan siku.
Lebih manis, dia merupakan antara dua petarung muay thai negara yang berjaya menyumbang pingat emas di Sukan SEA Myanmar 2013 iaitu pingat pertama negara dalam kejohanan itu.
Itu sejarah yang dimulakannya 12 tahun lalu dan kini zaman kegemilangannya sudah berlalu.
“Dulu saya bawa jiwa besar untuk harumkan nama negara dalam muay thai, kini jiwa itu saya salurkan pula untuk keluarga dan ilmu agama.
“Saya puas hati sebab bertanding bukan kerana duit, tetapi sebab mahu lihat nama Malaysia gah. Alhamdulillah, kini muay thai Malaysia diiktiraf antara yang terbaik di dunia,” katanya baru-baru ini.
Mohd. Faizal berkata, keutamaannya kini ialah keluarga dan untuk mendalami ilmu agama.
“Walaupun rindu untuk kembali beraksi, tetapi saya tidak pernah menyesal tinggalkan gelanggang.
“Sekarang saya dapat tumpukan kepada anak-anak dan agama. Bila duduk di masjid dan belajar agama, jiwa jadi lebih tenang,” katanya.
Sehubungan itu, dia turut menasihatkan generasi muda yang berminat dengan sukan ini supaya berlatih bersungguh-sungguh tanpa lupa adab serta jati diri.
“Jauhi dadah, jangan sombong, hormat ibu bapa dan guru. Belajar muay thai bukan untuk riak, tapi bagi membina disiplin dan kekuatan diri, kerana Allah,” katanya.
Katanya, sukan muay thai tidak bercanggah dengan ajaran Islam asalkan batas aurat dijaga dan imej sukan dibawa dengan cara yang betul.











